Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

AMIN ISKANDAR BUAT FITNAH ? KETUA PEMUDA PAS KENA TEGAS !


TIDAK TIMBUL LANGSUNG SOAL SPEKULASI, YANG PENTING IALAH KETUA PEMUDA PAS PERLU NAFIKAN SECARA TEGAS DAN TUTUP MULUT MEREKA, KEMUDIAN IKUTI PULA APA YANG AKAN MUNCUL SELEPASNYA, ANTA JANGAN JADI PONDAN, SEBAGAI KETUA PEMUDA ANTA KENA TEGAS - Pak Karamu

2013/07/28

TANGNI KETUA PEMUDA PAS MEMANG HEBAT:BACALAH

pebentar tadi, saya menerima emel dari seorang rakan yang merujuk saya kepada artikel bertajuk "Kebangkitan Pengaruh Menantu, Kali ini dalam PAS" oleh Amin Iskandar, seorang pengarang berita di portal The Malaysian Insider

Saya melihat artikel itu sarat dengan spekulasi yang mencetus fitnah. Ia dilihat sengaja dicetus untuk membantu pihak yang mahu menjatuhkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang lalu merosakkan kredebiliti ulama tersohor yang kini sedang menerajui kepimpinan PAS. [Sebab itu gambar Tuan Guru Hj Abdul Hadi menjadi penghias artikel dan nama Tuan Guru juga diserlahkan dengan ketara.]

Saya memilih untuk respon artikel itu kerana nama saya turut diseret dalam spekulasi yang menumbuhkan fitnah rekaan pengarangnya.Tiba-tiba sahaja nama Al Fadhil Ustaz Zaharudin Mohamad menjadi hit dan diperkenalkan kepada umum sebagai menantu kepada Tuan Guru Presiden PAS, sedang menurut perspektif saya bahawa Ustaz Zaharudin Mohamad adalah seorang yang sangat low profile. 

Justeru itu ia tidak dikenali umum sebelum daripada ini. Bahkan bukan beliau sahaja yang berstatus menantu kepada pemimpin utama jamaah PAS malah ramai lagi yang pernah berstatus menantu kepada pemimpin utamanya sebelum ini, malah ada yang berstatus anak kepada pemimpin utama. [saya tidak perlu menyenaraikannya]

Secara umumnya, semua bapa dan mentua akan berbangga dengan kehebatan anak dan menantu mereka. Sementelah anak dan menantu mereka aktif memperjuangkan Islam bersama jamaah. Malah menjadi idaman setiap bapa dan mentua yang berjuang menegakkan Islam untuk memiliki anak dan menantu yang hebat serta mempunyai karisma kepimpinan yang hebat juga dalam perjuangan suci ini.

Tambahan pula Islam tidak memandang salah pertalian anak dan menantu yang turut berintima' dalam Gerakan Islam lantas bergandingan dengan seluruh anggota jamaah yang lain untuk memperjuangkan Islam.

Saidina Ali Karramallahu Wajhah antara contoh menantu Nabi saw yang sangat hebat dalam sejarah Islam, berjuang dan mengisi saff kepimpinan ummah di belakang Nabi saw. Sebagaimana Saidina Abu Bakar As Siddiq Rha sebagai bapa mentua Nabi saw yang juga hebat berjuang dan mempertahankan Nabi saw.

[Malah kesemua sahabat Khulafa' Ar Rasyidin mempunyai hubungan mentua dan menantu dengan Nabi saw dan menduduki posisi kepimpinan utama sejak zaman hidupnya Nabi saw]
Perkara yang menjadi kesalahan ialah apabila berlaku penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa dan ini perlu dibuktikan apabila  berlaku dakwaan. Bukan sahaja anak dan menantu, malah mereka yang tidak berbau bacang pun, jika melakukan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa mestilah dibuktikan apabila terdapat dakwaan dan jika sabit kes maka tindakan sewajarnya mesti diambil.

Pengarang artikel kebangkitan pengaruh menantu ini cuba mengaitkan Ustaz Zaharudin Mohamad seperti Khairy Jamaludin dalam Umno yang kononnya menjadi faktor kejatuhan pemerintahan Pak Lah Badawi. Teori konspirasi itu berlaku dan digerak kuat oleh Tun Dr Mahathir untuk menjatuhkan Pak Lah dengan memukul Khairy habis-habisan bagi membantu Najib menaiki takhta pucuk kepimpinan BN.

Akhirnya, Pak Lah terpaksa mengalah dan berundur lalu menyerahkan kuasa kepada Najib. Ironinya, apabila Najib berkuasa dan mendapat mandat baru melalui pilihan raya ke-13 sebagai Perdana Menteri Malaysia, Khairy kini dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Ertinya, kejatuhan Pak Lah adalah faktor kelemahan dirinya sendiri dan Khairy bukanlah sasaran sebenar. Realiti ini dapat dilihat sejak awal selepas peralihan kuasa Pak Lah kepada Najib, Khairy tidak lagi menjadi papan sasar mana-mana pihak dalam Umno mahupun dari pihak Tun Mahathir sendiri.

Kerana matlamat utama mereka hanya mahu menjatuhkan Pak Lah dan Pak Lah sudah jatuh. Maka tidak mengapa Khairy terus mengukuhkan penguasaan dan kedudukan politiknya dalam Umno dan BN.

Jika teori konspirasi  ini diguna dan dimaksudkan oleh Amin Iskandar sebagai main point dalam artikel Kebangkitan Pengaruh Menantu, ertinya Ustaz Zaharudin Mohamad bukanlah sasaran utama tetapi sebaliknya Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS sebagai sasaran mereka.  Persoalannya siapakah yang menyasarkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi?

Saya tidak percaya Tuan Guru Hj Abdul Hadi lemah sebagaimana Pak Lah walaupun telah wujud sebelum ini percubaan yang dilakukan oleh individu tertentu untuk melabelkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi adalah Pak Lah versi PAS. Sekali lagi saya kira tiada ahli PAS yang celik Gerakan Islam percaya dan menerima label yang diberi sedemikian rupa. Sebab itu percubaan tersebut bukan sahaja gagal tetapi terus lenyap ditelan jerebu yang melanda negara.

Apabila timbul isu kebangkitan pengaruh menantu ini dan percubaan menyamakan ustaz Zaharudin Mohamad seperti Khairy dalam Umno membuatkan saya tertanya-tanya dan tercari-cari siapa yang berperanan sebagai Tun Mahathir untuk memukul Ustaz Zaharudin seperti Tun Mahathir pukul Khairy dahulu? Dan siapa pula yang akan mengambil tempat Datuk Seri Najib untuk dinaikkan kalau mereka berjaya menjatuhkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi kelak?

Saya berdoa dan bermunajat kepada Allah swt agar jamaah ini dipelihara oleh-Nya dari musibah dan porak peranda sedemikian rupa. Semoga mereka yang membangkitkan fitnah dan meniup segarkan fitnah itu dikurniakan petunjuk oleh Allah swt. Saya menafikan setiap spekulasi yang dikemukakan oleh Amin Iskandar dalam artikelnya dan ia adalah satu tanggapan salah jua merupakan satu fitnah.

Saya mengharapkan beliau menarik balik spekulasi yang beliau kemukakan kerana ia tidak berasas. Saya tidak tahu siapa yang salurkan maklumat sedemikian kepada beliau sedang beliau bukanlah pimpinan PAS yang boleh akses maklumat dalaman jamaah. Jika itu maklumat dipungut dari jalur internet atau ada individu tertentu yang salurkan maklumat kepada beliau, sekali lagi saya nafi kebenarannya bahkan ia adalah satu tohmahan yang tidak berasas.

Jika Amin Iskandar ingin meneruskan spekulasinya, beliau boleh berbuat demikian tetapi mesti mengemukakan bukti. Jika tidak, ia kekal sebagai fitnah.

* Nasrudin Hassan merupakan Ahli Parlimen Temerloh merangkap Ketua Pemuda PAS.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.