• ABDUL AZIZ ABDUL AZIZ
1 / 1
ALOR SETAR – Guru-guru yang mengajar subjek Pendidikan Islam di sekolah menengah dan rendah perlu diberi pendedahan semula mengenai sejarah Islam yang sebenar.

Pengerusi Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis), Prof Madya Dr Abdul Aziz Hanafi berkata, usaha itu perlu sebagai langkah utama sejajar dengan tindakan mengkaji semula sejarah Islam dalam buku teks Pendidikan Islam rendah dan menengah.

“Guru-guru agama juga perlu pendedahan dan pengajian semula mengenai sejarah Islam, khususnya semasa zaman sahabat Nabi sebelum disampaikan kepada pelajar.

“Kita perlu laksanakan cadangan ini demi memperbetulkan beberapa fahaman yang kurang tepat dan ada yang didakwa menjurus ke arah fahaman Syiah,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Kulliyah Syariah Kolej Universiti Insaniah berkata, pihaknya sedia membantu jabatan dan agensi berkenaan untuk menjelaskan mengenai peristiwa sebenar semasa zaman sahabat berdasarkan sumber-sumber yang muktabar.

Mengulas mengenai gesaannya supaya kerajaan mengkaji semula buku teks Pendidikan Islam yang dibimbangi turut dipengaruhi unsur Israiliyat dan juga yang menjurus kepada fahaman Syiah, Abdul Aziz berkata, perkara itu perlu dilaksanakan untuk mengelak timbul salah faham kalangan pelajar.

“Kita nak fokus apa itu Syiah dan apa yang kurang tepat dalam buku teks berkenaan. Kita khuatir kalau pelajar menganggap ia benar.

“Kalau kerajaan setuju, Giptis sedia duduk semeja untuk membincangkan mengenai perkara itu,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya telah membuat aduan kepada Kementerian Pendidikan berhubung dakwaan itu, beliau berkata, satu aduan secara lisan telah dibuat menerusi telefon, kelmarin.

“Pihak kementerian telah menghubungi saya dan minta penjelasan mengenai perkara itu. Saya dan tiga individu dari Universiti Utara Malaysia (UUM) serta seorang pendakwah bebas akan berjumpa dengan pihak berkenaan di Kuala Lumpur.

“Kita bercakap secara umum dan tidak menuding jari kepada mana-mana penerbit atau penulis. Kita cuma mahu perkara berkaitan sejarah Islam dikaji semula dan memperbetulkan mana yang berkenaan,” katanya.