• Mahkamah tolak petisyen difail Pas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin (kiri) keluar dari mahkamah bersama peguamnya selepas hakim menolak petisyen difailkan Pas.
1 / 1
BATU GAJAH – Mahkamah Pilihan Raya di sini semalam menolak petisyen difailkan Pas bagi membatalkan keputusan pilihan raya bagi kawasan Dun Manong dan Pasir Panjang yang dimenangi BN pada PRU13 lalu.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim dalam kehakimannya menolak petisyen itu kerana kesemua pempetisyen gagal mematuhi Kaedah 9 dan Kaedah 34 yang termaktub dalam Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 dan mahkamah menolak kedua-dua petisyen berkenaan dengan kos.

Abang Iskandar turut mengarahkan pempetisyen iaitu calon Pas bagi kawasan berkenaan, Jamil Dzulkarnain membayar kos RM40,000 masing-masing kepada responden pertama iaitu, Adun Manong, Mohamad Kamil Shafie serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden kedua.

Mahkamah turut memerintahkan pempetisyen bagi Dun Pasir Panjang, seorang pengundi iaitu Shamsul Sakri Che Din turut membayar dengan kos yang sama kepada tiga responden iaitu Adun Pasir Panjuang, Rashidi Ibrahim, Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan SPR sendiri.

Mahkamah turut menetapkan 2 Ogos ini untuk keputusan bantahan awal petisyen yang turut difailkan oleh seorang lagi pengundi iaitu Hamidun Zakaria bagi Dun Pasir Panjang.

Pas diwakili oleh enam peguam diketuai G K Ganeson manakala responden pertama bagi Dun Manong serta Pasir Panjang diwakili peguam Abu Bakar As Sidiq dan Badrul Hishah Abdul Wahab.

Responden kedua bagi Dun Manong diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Donald Joseph Fraklin sementara responden kedua dan ketiga bagi Dun Pasir Panjang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nadia Hanim Mohd Tajuddin.

Pada PRU13 lalu di Dun Manong, Mohd Kamil menewaskan Jamil dengan memperoleh majoriti 231 undi manakala Rohawati Abidin yang mewakili Pas tewas dengan majoriti 304.

Pada 1 Ogos nanti, satu lagi keputusan petisyen pilihan raya bakal diketahui melibatkan kawasan Dun Rungkup.

PR Perak sebelum ini memfailkan lima petisyen melibatkan empat kawasan Dun dan satu kawasan Parlimen iaitu Parlimen Bagan Datoh.

Bagi petisyen pilihan raya Parlimen Bagan Datoh, bantahan awal setakat ini belum lagi failkan oleh responden.