01 Ogos, 2013
Isu Syiah Rupanya Umno Gunakan Untuk Alih Perhatian Kenaikan Kes Jenayah
KUALA LUMPUR: Menggembar-gemburkan isu Syiah untuk mengalihkan perhatian
rakyat dari isu-isu yang menekan mereka seperti kenaikan kadar jenayah
dan kenaikan harga barang tidak akan berjaya, kata Naib Presiden PAS,
Salahuddin Ayub.
"Tindakan menggembar-gemburkan isu Syiah semakin kelihatan seperti
tindakan terancang untuk mengalihkan perhatian orang-orang Melayu dari
isu-isu yang lebih menekan mereka seperti kenaikan kadar jenayah yang
semakin menakutkan dan kenaikan harga barangan.
"Tetapi tindakan itu pasti tidak akan berjaya kerana rakyat sudah
semakin tahu dengan taktik mengalihkan perhatian itu," katanya.
Salahuddin juga melihat apa yang dilakukan itu sebagai lanjutan untuk "mengepung penyokong dan sokongan".
"Boleh dikatakan orang-orang Melayu adalah satu-satu pasaran yang masih terbuka untuk kepentingan politik Umno.
"Umno tahu ia tidak akan dapat menipu semua orang. Tetapi apa yang terus
dilakukan oleh parti itu adalah semata-mata untuk mengepung penyokong
dan sokongan sedia ada dari terlepas kepada pihak lain.
"Penyokong dan sokongan yang sedia ada perlu dilalaikan dengan
perkara-perkara yang sensasi supaya mereka tidak sensitif langsung
dengan isu-isu lain yang lebih menekan kehidupan rakyat," katanya.
Malah, katanya lagi, sering kali berlaku apa yang disensasikan untuk
mengepung penyokong dan sokongan itu bukannya berasaskan kebenaran
tetapi sengaja untuk menimbulkan keraguan.
"Sudah terlalu kerap kita melihat isu-isu yang disensasikan itu hanyalah
semta-mata bertujuan untuk menimbulkan keraguan dan akhirnya
terbuktikan tidak benar sama sekali," kata beliau.
Salahuddin berkata, isu Syiah tidak perlu diapi-apikan kerana enakmen
dan undang-undang yang sedia ada boleh digunakan untuk menanganinya.
"Kalau kerajaan pernah menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
terhadap pengikut-pengikut Syiah, mengapa tidak digunakan enakmen dan
undang-undang yang sudah lama ada.
"Mengapa sengaja membuat bising seolah-olah tidak ada enakmen dan
undang-undang yang boleh menangani perkara itu?" beliau mempersoalkan. ~harakahdaily
0 orang berkata:
Post a Comment