Wednesday, July 24, 2013
Detektif Koperal Hassan Ali Basari Dakwa Dijadikan Kambing Hitam
Kalau benar dakwaannya
Kenapa dan nak lepaskan tengkok siapa?
Rabu Julai 24, 2013 Detektif Koperal Hassan Ali Mengaku Tidak Buat Laporan Bertulis Kehadiran 'Datu Piah'
Rabu Julai 24, 2013 Detektif Koperal Hassan Ali Mengaku Tidak Buat Laporan Bertulis Kehadiran 'Datu Piah'
Koperal Hassan Ali Basri dibawa keluar oleh dua anggota polis
dari Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu setelah memberi keterangan
tidak bersumpah atas pertuduhan menyembunyikan maklumat
mengenai kegiatan pengganas di Lahad Datu awal tahun ini
KOTA KINABALU: Anggota
polis, Detektif Koperal Hassan Ali Basari yang dituduh menyembunyikan
maklumat mengenai kegiatan pengganas di Lahad Datu, awal tahun ini pada
Rabu mengaku di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau mengetahui
kehadiran Datu Piah, seorang daripada adik-beradik Jamalul Kiram III, di
Lahad Datu pada 13 Februari lepas.
Hassan Ali
berkata pada hari itu kira-kira 4 petang, beliau dihubungi sumbernya
bernama 'Saluan Bin Bawa' bahawa Datu Piah tengah minum di restoran
India dekat bangunan Ambank, pekan Lahad Datu.
"Saya terus
pergi ke sana dan berjumpa dengan seorang tua yang mungkin Datu Piah.
Saya bertanya apa tujuan datang ke Kampung Tanduo. Dia menyatakan bahawa
tujuan mereka adalah untuk menuntut hak Kesultanan Sulu, meminta
kerajaan Malaysia kaji balik bayaran RM5,000, ingin membuat Kampung
Tanduo sebagai perkampungan mereka dan akan mempertahankan kalau
diserang," katanya ketika membela diri atas tuduhan itu di hadapan Hakim
P. Ravinthran.
Hassan Ali
berkata demikian ketika memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang
tertuduh selepas Mahkamah Tinggi pada 17 Julai lepas memerintahkan
beliau membela diri apabila pihak pendakwaan, diketuai Timbalan Pendakwa
Raya Datuk Nordin Hassan menghasilkan kes prima facie terhadap
tertuduh.
Beliau yang
berasal dari Semporna didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang
membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau
kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Hassan Ali juga
berkata beliau dimaklumkan orang itu (Datu Piah) bahawa mereka ada
membuat tuntutan ke atas Sabah secara bertulis kepada pihak berkuasa
Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Dia juga
memberitahu saya bahawa kerajaan Malaysia sudah lama mengetahui tuntutan
mereka sebelum kedatangan mereka ke Kampung Tanduo," katanya.
Katanya beliau
memaklumkan perjumpaan itu kepada anggota polis yang bertugas di Bilik
Gerakan Cawangan Khas Lahad Datu tetapi "saya tidak membuat laporan
bertulis kerana pada masa itu saya masih bercuti dan keesokan harinya
(14 Februari) saya berangkat ke Kota Kinabalu bagi mengatur pertunangan
anak lelaki saya."
Dalam
keterangannya, Hassan Ali berkata beliau bukan pengganas dan tidak
terlibat dengan mana-mana aktiviti pengganas oleh pengikut Kesultanan
Sulu, sebaliknya menjalankan tugas sebagai anggota polis Cawangan Khas
seperti yang diarahkan untuk membuat risikan berhubung aktiviti pengikut
Datu Ismail Kiram.
"Saya tidak
pernah terlibat dengan mana-mana aktiviti perbuatan keganasan oleh
pengikut Kesultanan Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Saya sangat
hairan kenapa saya sebagai seorang anggota polis yang berpangkat paling
rendah dipersalahkan walaupun saya telah melaporkan semua maklumat yang
saya peroleh daripada sumber saya berhubung dengan Kesultanan Sulu
kepada Ketua Cawangan Khas Daerah sedangkan bukan saya seorang sahaja
yang membuat risikan maklumat Kesultanan Sulu," katanya.
Beliau
menjelaskan bahawa semua anggota Cawangan Lahad Datu mempunyai maklumat
berhubung Kesultanan Sulu dan ancamannya ke atas Sabah.
"Sekiranya,
Ketua Cawangan Khas Sabah mengatakan bahawa beliau tidak mendapat
maklumat berhubung Kesultanan Sulu daripada Ketua Cawangan Khas Daerah,
ini bermakna semua anggota cawangan khas Lahad Datu tidak melaporkan
maklumat itu.
"Intipati-intipati
pertuduhan ke atas saya adalah tidak benar dan bertujuan untuk
menyalahkan saya sedangkan IPK Sabah di Kepayan telah mengetahui
maklumat pencerobohan pengikut Kesultanan Sulu di Kampung Tanduo lebih
awal daripada saya sebelum pencerobohan berlaku pada 12 Februari 2013,"
katanya.
Beliau berkata
semua maklumat berhubung Kesultanan Sulu yang diperoleh daripada sumber
di luar dan dalam bandar Lahad Datu dilaporkan kepada pegawai bertugas
melalui Bilik Gerakan Cawangan Khas Lahad Datu.
Katanya, selama
bertugas sebagai Detektif Cawangan Khas sejak 1975, beliau tidak pernah
menerima arahan daripada Ketua Cawangan Khas Sabah atau Ketua Cawangan
Khas Daerah Lahad Datu supaya semua maklumat yang diperoleh hendaklah
dilaporkan secara bertulis.
Hassan Ali
berkata sebelum arahan diberikan kepada beliau untuk membuat risikan dan
mendapatkan maklumat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di
Kepayan sudah mengetahui maklumat berhubung tuntutan Kesultanan Sulu ke
atas Sabah.
Bagaimanapun,
beliau mengakui banyak membuat panggilan ke Filipina atas arahan pegawai
atasannya bagi mendapatkan maklumat daripada sumber beliau yang
dikenali sebagai 'Istino Bin Jair'.
Katanya pada 21
Februari lepas, beliau menghubungi Istino melalui telefon dan
dimaklumkan bahawa 'perancangan Datu Ismail Kiram untuk menuntut Sabah
memang ada dan orang-orang Suluk dari Basilan, Jolo dan Tawi-Tawi mahu
membantu Datu Ismail Kiram.
Menurutnya,
pada 28 Feb lepas beliau dimaklumkan Istino bahawa Datu Ismail Kiram
berjumpa bekas pengikut MNLF di San Rocky, Zamboanga.
"Saya ada
memberitahu kepada penyelia saya berkenaan maklumat daripada dua
panggilan telefon itu dan dia telah menghantar ke Cawangan Khas Ibu
Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan.
Saya juga ada
membuat panggilan telefon kepada sumber saya 'Abdul Rajan' yang bertugas
di Integrated National Polis (INP) di Basilan, Filipina, dan dia
memaklumkan saya bahawa ada tiga kumpulan iaitu dari Basilan, Jolo dan
Tawi-Tawi yang mana kumpulan dari Basilan tidak membantu Datu Ismail
Kiram," katanya.
Mengenai
perbualan pintasan komunikasi yang diterjemahkan saksi kedua yang
dilindungi di antara beliau dengan 'Lelaki Sabah', Hassan Ali berkata ia
adalah tidak benar dan ditokok tambah.
"Semasa di
Mahkamah rakaman perbualan telefon saya dengan 'Lelaki Sabah' tidak
dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Rakaman perbualan telefon saya dengan
'Lelaki Sabah' sepatutnya dikemukakan di Mahkamah bagi memastikan
perbualan sebenar dan suara saya.
"Saya
mengatakan bahawa penterjemahan pintasan komunikasi itu adalah palsu dan
digunakan untuk memerangkap saya sebagai kambing hitam dalam kes ini.
Saya juga tidak ada kaitan dengan Hassan yang dimaksudkan dalam
penterjemahan pintasan komunikasi di antara Datu Amir Baha dan Raja,"
katanya.
Dalam
keterangan akhirnya, Hassan Ali berkata semua bukti yang dikemukakan
oleh pihak Cawangan Khas adalah tidak betul, berat sebelah dan hanyalah
propaganda untuk mengenakan dan menyebabkan beliau menjadi kambing hitam
mereka dalam peristiwa pencerobohan pengikut Kesultan Sulu di Kampung
Tanduo.
Tertuduh yang
diwakili peguam-peguam Ram Singh, Kamarudin Mohd. Chinki, Syaiful
Sufyyan Sidin dan Lo Yun Sin didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat
Ketua Cawangan Khas Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu
antara Januari dan 3 Mac lalu.
Sepanjang perbicaraan bermula pada 24 hingga 28 Jun lalu, pihak pendakwaan memanggil 18 saksi untuk memberi keterangan.
Perbicaraan bersambung semula 2 Ogos ini. - BERNAMA
0 orang berkata:
Post a Comment