TNB, syarikat air perlu beri rebat mangsa banjir
- Mas (kiri) menyampaikan kasut bot dan baju hujan kepada Presiden Kelab Media Kelantan, Azran Fitri Ab Rahim (tiga, kanan) di sini hari ini.
KOTA BHARU – Bagi meringankan beban mangsa banjir di beberapa buah
negeri, Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta untuk memberi rebat
elektrik kepada mereka yang terlibat.
Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tempoh rebat
tersebut juga meliputi enam bulan hingga setahun bagi memberi peluang
kepada mereka untuk membaik pulih segala kelengkapan rumah yang musnah.
“Kecualikan caj bayaran elektrik kepada mereka, selain itu syarikat
bekalan air di kesemua negeri yang terlibat juga patut melakukan perkara
yang sama, beri kelonggaran untuk tidak bayar hutang dalam tempoh enam
bulan hingga setahun.
“Kita lihat banyak rumah tenggelam dan yakin mereka memerlukan kos yang
tinggi untuk proses baik pulih, sebab itu lah kita mahu mereka
diberikan kelonggaran ini,”katanya kepada media ketika tiba di Lapangan
Terbang Sultan Ismail, disini.
Menurutnya, selain itu juga, pinjaman di bawah RM2,000 yang diberikan
Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Usaha Niaga (Tekun)
kepada mereka yang terlibat juga perlu dimansuhkan.
Beliau turut meminta sambutan tahun baru tidak diadakan secara
besar-besaran sebaliknya peruntukan tersebut diberikan kepada
negeri-negeri yang terlibat dengan bencana ini untuk menampung keperluan
mangsa yang memerlukan.
“Ini bukan masanya untuk kita bersuka-ria dengan bencana yang melanda,
kami harap sangat tiada sambutan mahupun konsert besar-besaran dibuat
nanti, kita perlu peka dengan keadaan semasa yang melanda negeri-negeri
terlibat banjir ini,”katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment