Empat krisis utama himpit negara
ALOR SETAR – Pemuda Pas mendakwa negara kini berhadapan empat krisis
utama iaitu krisis keyakinan dan gejala rasuah, kelembapan ekonomi dan
kos sara hidup, gejala sosial dan kualiti pendidikan serta ancaman
kedaulatan.
Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Pemuda Pas wajib
melaksanakan tuntutan pembinaan negara yang lebih sejahtera.
“Beberapa kes rasuah berprofil tinggi sedang disiasat oleh Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melibatkan nilai rasuah cecah ratusan
juta ringgit. Tambah pula kegagalan kerajaan menangani skanda 1MDB,
FGV, Mara dan Tabung Haji menyebabkan jurang defisit keyakinan rakyat
semakin melebar.
“Rakyat pula berdepan situasi ekonomi mencabar, kesan kenaikan inflasi
dan cukai. Subsidi minyak dan keperluan asas lain telah mula dihapuskan,
menjadikan rakyat lali dengan turun naik harga di pasaran, ditambah
pula dengan mahalnya harga kereta dan rumah untuk dimiliki,” katanya
ketika menyampaikan ucaptama sempena Muktamar Pemuda Pas ke-58.
Menurutnya, statistik berkenaan gejala sosial kalangan belia dan negara
amat membimbangkan, terutama kes penyalahgunaan dadah, buang bayi,
disiplin pelajar selain kes penceraian dan bunuh diri meningkat.
“Manakala pencapaian pelajar sekolah dan graduan IPTA tidak menunjukkan peningkatan selari status negara maju menjelang 2020.
“Semakin banyak projek mega dan strategik diserahkan kepada syarikat
China, mendedahkan Malaysia kepada risiko pertembungan geopolitik di
antara China dan Amerika pasca-Trump yang menarik diri daripada TPP,”
katanya.
Justeru, sebagai kerangka asas terhadap penyelesaian krisis yang
melanda negara, beberapa langkah islah wajar diambil termasuklah
pembaharuan perlembagaan dengan agenda pemerkasaan Islam agama rasmi
persekutuan, di samping kebebasan institusi, pembaharuan ekonomi,
pembaharuan pilihan raya, perpaduan nasional dan hubungan antarabangsa.
“Sebagai menyahut hasrat anak muda yang mahu kehidupan lebih sejahtera,
Pemuda Pas meletakkan tujuh agenda anak muda sejahtera sebagai asas
manifesto Pas menjelang PRU14.
“Antaranya, pendapatan boleh guna, keupayaan sara hidup, pendidikan
berkebajikan, keusahawanan belia, rumah mampu milik, capaian
pengangkutan dan kesejahteraan hidup,” katanya.
1 orang berkata:
Dulu pakai tombak, tanjak bagai.
Sekarang baju melayu purple...pejuang melayu
Tahun depan tema ala lebai unta padang pasir
Post a Comment