Amaran Tuan Ibrahim kepada Amanah
ALOR SETAR - Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari
ini memberi amaran kepada Parti Amanah Negara (Amanah) untuk tidak terus
mengaitkan bekas nama pemimpin Pas terutama Allahyarham Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat semata-mata untuk meraih populariti dan sokongan rakyat
menjelang PRU14 ini.
Tuan Ibrahim berkata mengaitkan nama pemimpin Pas terutama yang sudah
meninggal dunia, menunjukkan parti berkenaan tidak yakin dengan
perjuangan mereka sendiri.
"Orang yang menyatakan diri mereka kuat tidak perlu bergantung kepada orang lain terutama orang yang telah meninggal dunia.
"Amanah, kalau mahu bertanding (pada PRU) nanti janganlah bertanding di
tempat yang Pas akan bertanding kerana ini akan memberikan tongkat
kepada BN," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha
di Kolej Islam Darul Ulum, Pokok Sena di sini.
Tuan Ibrahim berkata demikian ketika mengulas tindakan Amanah, parti
serpihan Pas, yang dilaporkan menjaja nama bekas mursyidul am Pas itu
dalam ceramah-ceramah parti berkenaan untuk meraih sokongan rakyat.
Amanah pada 9 April lalu menganjurkan seminar 'Pemikiran Tuan Guru
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat' di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan
susulan itu beberapa laporan polis dibuat terhadap Amanah bagi membantah
penggunaan nama bekas menteri besar Kelantan itu.
Selain itu, Amanah turut dikatakan akan bertanding di beberapa kawasan
di mana Pas meletakkan calon terutama di Kelantan dan Kedah.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata Pas mengharapkan agar anggota
Amanah kembali kepada Pas bagi menguatkan parti berteraskan Islam itu
terutama dalam misi mengekalkan Kelantan dan merampas kembali Kedah.
"Rakyat Kedah sudah boleh buat perbandingan antara pemerintahan Pas dan
BN dan kita yakin sokongan rakyat terhadap Pas masih kuat di negeri
ini," katanya. - Bernama
3 orang berkata:
Pas mmg bagi muka kat parti so sial is Ikatan. Sbb tu skrg dah jd PIGS.
Diharap PH tidak akan beri peluang kepada parti lebai fulusikom.
Ciss pan apa yg hangpa ada selain dapig shj. Parti tajaan dapig nk tunjuk lagak skrg ...
Post a Comment