Menjelang pilihan raya umum ke-13, tiada lagi pilihan raya kecil yang boleh dijadikan petunjuk terhadap kemungkinan pola pengundian nanti. Ramalan dan jangkaan politik, selain merujuk siri pilihan raya kecil sebelum ini -- yang kelihatan agak seimbang buat BN mahupun Pakatan Rakyat -- juga tertumpu kepada keputusan pilihan raya negeri Sarawak. Rata-rata beranggapan ada momentum menarik dari Bumi Kenyalang.
Memang kecenderungan mengundi dalam pilihan raya umum mungkin berbeza sama sekali dengan trend yang ditunjukkan dalam pilihan raya kecil sebelumnya, seperti dibuktikan dalam PRU12, namun sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan kayu pengukur kepada semua parti untuk melakukan penilaian kritis, bedah-siasat atau muhasabah. Seterusnya mengatur strategi penambahbaikan dan ada kalanya menuntut keberanian untuk merombak "hal-hal besar".
Mesej yang disampaikan pengundi kadang-kadang sukar untuk diterima tetapi itulah realiti perit yang menagih sikap terbuka pemimpin dan kebijaksanaan menanganinya. Persepsi pengundi tidak semestinya benar tetapi ia tetap faktor terpenting menentukan kalah-menang dalam pilihan raya. Selain berusaha menampilkan hakikat kebenaran dan menjelaskan kekaburan yang boleh mengelirukan, tanggapan masyarakat seringkali payah untuk dipulihkan jika tiada gerakerja serius dan sistematik.
Selain berterusan dan gigih menuntut proses pilihan raya yang bebas dan adil, tentu masih banyak perubahan dalaman yang harus disegerakan. Boleh sahaja kita menuding kesalahan kepada seteru politik yang memperkakaskan segalanya untuk survival kuasa mereka. Bukankah PRU13 menentukan hidup-mati BN dan merupakan pilihan raya pertama dimana pengundi benar-benar mempunyai pilihan?
Rakyat khususnya di negeri-negeri yang diperintah Pakatan begitu arif tentang kecacatan sistem federalisme Malaysia, sekali gus keperluan menubuhkan kerajaan persekutuan tidak dapat ditangguh lagi. Laluan ke Putrajaya yang mencabar itu menagih perancangan rapi dan kesediaan untuk melakukan "penyegaran" bagi menampilkan citra parti yang lebih memikat.
Seperti yang ditegaskan dalam kolum ini minggu lalu, saya lebih suka meletakkan PAS dalam kedudukan paling kritikal berbanding dua parti sekutunya dalam Pakatan. Pertama, saya sendiri merupakan ahli PAS dan petugas sepenuh masa parti. Kedua, trend pengundian pasca PRU13 masih menunjukkan bahawa majoriti masyarakat Melayu -- terutama di luar bandar, di kampung-kampung tradisi dan tanah rancangan Felda -- belum bersedia beralih sepenuhnya untuk menyokong Pakatan. Ketiga, di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu, kebanyakan calon yang dipilih Pakatan adalah mewakili PAS.
Di luar Kelantan, hatta di negeri-negeri yang dianggap kubu tradisi PAS, seperti Kedah dan Terengganu, PAS masih berdepan cabaran sengit Umno. Ramai melihat prestasi PAS di dua negeri tersebut pada 1999 jauh lebih baik berbanding 2008, sekiranya ditinjau dalam konteks sokongan pengundi Melayu.
Bagaimanapun saya difahamkan, selepas berkuasa, sokongan masyarakat Melayu terhadap PAS di Kedah makin kukuh. Yang menjadi tandatanya adalah usaha mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu. Manakala di Terengganu, pelbagai masalah kronik di pihak Umno-BN belum memadai untuk menjamin PAS mengulangi rekod gemilang 1999. Tidak dipastikan apakah bentuk tawaran atau penampilan berbeza yang bakal dikemukakan PAS Terengganu dalam kempen PRU13 nanti.
Melihat trend pengundian masyarakat Tionghuo di Sarawak baru-baru ini, lebih-lebih lagi dengan respons pemimpin Umno dan sikap akhbar harian yang dikuasainya, tidaklah sukar untuk menjangkakan bahawa kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina, yang kebanyakannya ditandingi calon DAP mahupun KeADILan, tetap memihak Pakatan. Malah parti-parti komponen BN sudah saling menyalahkan di antara satu sama lain.
Justeru, saya menyimpulkan bahawa keupayaan Pakatan untuk merealisasikan impian menawan Putrajaya dalam PRU13 lebih bergantung kepada sokongan masyarakat Melayu kepada PAS. Pastinya sokongan itu tidak datang secara mudah terutama bagi memecahkan beberapa halangan psikologi politik Melayu. Segala potensi dan sumber kekuatan mesti digembleng dari sekarang, bukan sahaja melibatkan PAS tetapi juga penggemblengan bersama semua parti dalam Pakatan.
Kita harus mencegah pemisahan politik berdasarkan kaum di negara tercinta ini. Sebarang dakyah untuk membakar sentimen kaum mesti dibanteras. Pengundi Cina yang secara konsisten mutakhir ini menyokong Pakatan tidak bermakna mereka bersikap perkauman, malah ternyata begitu mengambil berat soal integriti, ketelusan, sekali gus menentang korupsi dan monopoli kekayaan oleh segelintir elit penguasa.
PAS yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan mempunyai kemampuan besar bagi menarik sokongan majoriti pengundi Melayu -- agar bersama rakan-rakan bukan Melayu -- untuk menolak pemimpin BN yang terbukti mengamalkan rasuah, salahguna kuasa, "merompak" khazanah negara untuk suku-sakat dan kroni masing-masing.
Namun begitu, untuk meraih simpati pengundi Melayu bukan terletak kepada "kehodohan" wajah Umno-BN semata-mata. Penampilan citra baru PAS-Pakatan yang lebih segar dan meyakinkan adalah lebih mendesak lagi. Sesungguhnya Pakatan hanya dapat berkuasa di peringkat pusat jika slogan "PAS Ganti Umno" benar-benar menjadi kenyataan, dan bukannya membiarkan parti Islam itu berada pada tempat ketiga dari segi penguasaan kerusi Parlimen berbanding sekutunya, KeADILan dan DAP.
0 orang berkata:
Post a Comment