Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

BN AKAN HILANG 7 KERUSI PARLIMEN DI SARAWAK

DALAM  wawancara pertama Harakah dengan DR JENIRI AMIR, pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yakin BN mampu mempertahankan majoriti selesa dua pertiga dalam Dun Sarawak. Meskipun di saat-saat akhir kempen seolah-olah kelihatan gelombang perubahan, namun beliau tetap mempertahankan jangkaan awalnya, tetapi meramalkan BN akan kehilangan lebih banyak kerusi terutama di kawasan bandar.

Menerusi wawancara kali kedua bersama ANIS NAZRI pada 22 April lalu, Dr Jeniri melihat BN akan menghadapi masalah besar dalam pilihan raya negeri berikutnya jika tiada perubahan dilakukannya. Malah, beliau menjangkakan dalam PRU13 nanti, BN mungkin hilang 7 kerusi Parlimen di Sarawak.

HARAKAH: Sejak awal Dr menjangkakan BN Sarawak akan menang mudah, hatta tiada masalah untuk mengekalkan majoriti dua pertiga dan menafikan kemungkinan berlaku tsunami politik di negeri berkenaan. Jangkaan Dr tepat sekali. Apakah asas jangkaan tersebut?
 
DR JENERI: Saya sudah menjangka dari awal bahawa tidak akan ada masalah bagi BN untuk mengekalkan dua pertiga kerusi, tetapi saya juga jangkakan bahawa BN juga akan kehilangan kerusi berbanding 2006 dan ia tepat.  

Jangkaan saya itu berdasarkan beberapa faktor, yang pertama ialah kadar celik politik rakyat yang meningkat, dan keduanya sentimen anti kepimpinan negeri yang dilihat berleluasa di kalangan pengundi Cina, khususnya di bandar yang jelas terbukti apabila hampir semua kerusi di kawasan Cina tumbang.

Keinginan rakyat untuk melihat peralihan kuasa juga begitu kuat sehingga sukar dikekang dan dibuktikan apabila ceramah  Pakatan Rakyat di kawasan-kawasan bandar seperti di Kuching dan Sibu mendapat sambutan hebat yang boleh dikatakan tidak pernah disaksikan sebelum ini.

Beberapa isu lain seperti isu NCR atau tanah adat yang juga merupakan faktor kuat, yang membangkitkan sentimen pengundi luar bandar untuk memihak Pakatan  Rakyat.  Ini dapat disaksikan di beberapa kerusi iaitu di Ba'kelalan dan Krian, yang menunjukkan kekalahan BN sebahagiannya kerana isu NCR itu.  

Apapun dari segi politik pembangunan, khususnya di luar bandar, saya rasakan tidak mungkin Pakatan Rakyat menumbangkan BN, apatah lagi dua pertiga atau sekitar 56 kerusi antara 71 kerusi terletak di luar bandar.  Secara asasnya apabila majoriti dua pertiga itu terletak di luar bandar, kadar celik politik masih rendah berbanding di bandar.

Pengundi di luar bandar, secara relatifnya mereka masih memerlukan kemudahan asas, apatah lagi kadar kemiskinan masih tinggi, mereka masih memerlukan bantuan kerajaan dan mereka juga adalah pengundi yang tertawan kerana diasak propaganda yang sekian lama, selain bergantung kepada kerajaan untuk membuat pembangunan terhadap kawasan mereka.

Semua faktor ini apabila digabungkan bahawa tiada masalah bagi BN untuk mempertahankan majoriti dua pertiga, tetapi dengan kerusi berkurangan.

Boleh Dr rumuskan keputusan pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini dan menggariskan beberapa petunjuk penting dalam  keputusan itu?
 
Secara jelasnya, pengundi Cina menolak BN di kawasan bandar, menolak kepimpinan SUPP dan juga kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud berasaskan beberapa persepsi negatif dalam SUPP dan negeri.  Di mana SUPP dilihat gagal memperjuangkan dan mempertahankan inspirasi kaum Cina, manakala Taib pula tidak mendokong urus tadbir negeri yang baik.  Sentimen mereka begitu kuat hingga saya difahamkan ada pengundi dari luar negara seperti dari Amerika Syarikat, Britain dan juga Australia balik ke Sarawak untuk mengundi Pakatan Rakyat.

Ia jelas apabila melihatkan majoriti undi di kawasan bandar, terutamanya untuk Pakatan Rakyat meningkat.  Kedua, ada kecenderungan di kalangan bumiputera ini untuk mengundi pembangkang dapat diperlihatkan apabila undi popular BN berkurangan, dari 63 hingga 55 peratus, yang menunjukkan penurunan sebanyak lapan peratus.  Jika keadaan ini tidak dikekang dan diambil perhatian, ia akan menjadi petanda buruk kepada BN dan saya menjangkakan akan hilang tujuh kerusi pada pilihan raya di peringkat Parlimen.

Bagaimana pula dengan pola pengundian masyarakat Dayak? Apakah faktor Baru Bian sebagai calon Ketua Menteri Pakatan Rakyat langsung tidak berpengaruh ke atas mereka, selain daripada di Ba'kelalan?  

Pola pengundian bagi masyarakat Dayak kelihatan ada penurunan.  Ini kerana mereka berasa terpinggir dengan dasar yang ditanggapi mereka tidak memihak kepada mereka dan juga diburukkan dengan isu tanah adat yang begitu dekat dengan masyarakat Dayak kerana ia dianggap sebagai pesaka.  Tindak-tanduk kerajaan yang dilihat tidak  memihak itu membuatkan  mereka marah dan diterjemahkan di peti undi.

Satu sahaja yang naik, yang berpihak kepada BN iaitu membabitkan masyarakat Melanau apabila meningkat sekitar dua peratus atas faktor kerana mereka merupakan masyarakat minoriti di Sarawak yang menyebabkan mereka perlu bersatu untuk mengekalkan hegemoni politik mereka agar tidak terlepas di tangan kaum lain.  Walau apapun yang berlaku, mereka ini akan terus mendokong BN bagi mengekalkan hegemoni politik mereka.

Pengundi Melayu-Melanau dikatakan cukup setia dengan BN. Meskipun Taib Mahmud cukup hebat diserang dengan pelbagai isu yang sukar dijawab namun partinya tetap mendapat kejayaan besar.  Dr tentu ada pandangan menarik terhadap situasi ini.  Ada pihak mendakwa pengisytiharan Baru Bian sebagai calon KM juga merapatkan lagi sokongan masyarakat Bumiputera Islam terhadap BN?
 
Ia berkaitan dengan apa yang saya katakan tadi.  Apabila Baru Bian diisytiharkan sebagai KM jika Pakatan Rakyat dapat memerintah Sarawak,  ia menimbulkan keresahan di kalangan Melayu-Melanau yang beragama Islam kerana mereka tidak mahu terlepas kepada yang bukan Islam.  Apabila isu itu disebarkan di kampung-kampung khususnya sudah tentu ia menimbulkan ketakutan yang akhirnya menyumbang kepada undi terhadap BN.

 Dr pernah berkata bahawa untuk dua kali lagi pilihan raya negeri, agak sukar menyaksikan perubahan besar di Sarawak. Boleh huraikan lebih lanjut?
 
Ya, pada dua pilihan raya nanti saya membayangkan BN akan melalui jalan sukar, pilihan raya negeri yang ke-11  susah, yang ke-12  lagi masalah besar jika BN tidak mengubah dan menyesuaikan dasar yang dikehendaki rakyat. Ini kerana, satunya,  jumlah pengundi veteran ini semakin mengecil, yang kedua jumlah kelas menengah semakin melebar dan bertambah yang kita tahu tahap kesedaran politik mereka semakin meningkat, selain sumbangan media alternatif yang semakin meningkat.  Dengan faktor ini BN akan sukar dengan PRN ke-12, tapi kalau mereka (BN) ubah dasar, lebih serius untuk melaksanakan projek pembangunan, mungkin ia lain.

Taib sudah berjanji akan berundur selepas ini. Dr juga mengatakan agak sukar menelah langkah politik beliau. Tapi kali ini mungkin Dr boleh membuat agakan yang tepat ...
 
Saya tidak fikir begitu mudah pengundi Cina akan berubah.  Ayunan undi yang begitu besar hingga menyebabkan kerusi-kerusi bandar sehingga tumbang.  Jika dia berundur ia dilihat akan meredakan keadaan.  Bagaimanapun orang masih ragu-ragu, kerana sudah ada rekod sebelum ini dia kata begitu tapi tidak ditunaikan.  Jadi kesangsian masih ada, kecuali kalau betul dia sudah tidak ada kerusi. 

Bagaimanapun sesetengah pihak masih melihat Taib perlu memimpin Sarawak bagi satu atau dua penggal lagi, maknanya untuk 10 tahun atas alasan bahawa kerusi yang ditandingi PBB semua menang.  Itu hujah mereka, tapi hakikatnya dia bukan sahaja pemimpin PBB tapi pimpinan BN di Sarawak, dan kegagalan BN di 16 kerusi baru-baru ini adalah isyarat bahawa dia tidak diterima.

Ramai bercakap tentang pengganti Taib. Pastinya Dr melihat potensi kepada beberapa tokoh tertentu. Selain itu, apakah kata putus tentang pengantinya terletak kepada Taib sendiri ataupun Perdana Menteri, Najib Razak?

  Sebenarnya tidak munasabah jika belum ada pemimpin yang betul-betul layak untuk menggantikan Taib, apatah lagi selepas 30 tahun iaitu tempoh itu lebih dari memadai untuk melaksanakan kerja, alasan mengatakan masih banyak tugas dan amanah yang belum  dilakukan bukan alasan yang kukuh.  Pemimpin pelapis sudah ada, tinggal lagi untuk dia menyerahkannya atau tidak.

Saya melihat ada empat nama yang berpotensi yang disebut sebagai pelapis sejak 20 tahun lepas.  Kini sudah tenggelam, antaranya Dato' Seri Effendi Norwawi, dan Dato' Seri Adenan Mohd Satem.  Tinggal dua lagi iaitu Dato' Abang Johari Openg dan Dato' Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Sesetengah pihak bertanggapan Awang Tengah dilihat sebagai pemimpin kesayangan Taib, bagaimanapun difahamkan sesetengah pihak beranggap ia mempunyai beban politik yang tidak memihak kepada beliau.  Abang Johari dilihat lebih layak memandangkan dia agak popular dan diterima pelbagai kaum.   Menurut kajian di UNIMAS,  Abang Johari mengatasi ranking yang menunjukkan kepopularan beliau.  Ramai di kalangan akar umbi yang mahu Abang Johari sebagai pengganti Taib.

Saya difahamkan Perdana Menteri juga memihak kepada Abang Johari, yang jelas sikap itu munasabah dan wajar kerana ia memenuhi inspirasi akar umbi yang menghendaki pemimpin yang berpengalaman, bersih, disenangi rakyat dan prihatin dengan kepentingan rakyat.  Dan Abang Johari dilihat menepati ciri-ciri itu.

Saya fikir sudah ada perundingan Najib-Taib, di mana kuasa perundingan sudah tidak seperti sebelum pilihan raya lalu.  Kuat kepada PM untuk menentukan calon, kerana suara Putrajaya tidak boleh ditolak begitu sahaja.  Hubungan 'Putrajaya-Petrajaya' yang baik itu dilihat perlu untuk memacu Sarawak ke hadapan.

Jika mood pengundian baru-baru ini diterjemahkan dalam pilihan raya Parlimen, benarkah Sarawak bukan lagi 'simpanan tetap' BN?
 
Saya fikir ungkapan 'simpanan tetap' perlu dikaji semula kerana orang Sarawak tidak senang hati dikatakan demikian, mereka mahu dilihat politik Sarawak dilihat secara betul.  Ungkapan itu untuk katakan simpanan tetap ia satu persoalan besar apatah lagi ada kecenderungan pengundi Cina dan juga luar bandar yang sudah menolak BN.  Yang paling penting BN perlu betul-betul ikhlas bawa pembangunan kepada masyarakat dengan mengubah dasar yang tidak sesuai dengan kontek zaman sekarang.

Minta Dr ulas tentang pencapaian PAS dan masa depan parti itu di Sarawak.
 
Cubaan PAS untuk bertanding di lima kerusi merupakan satu tindakan strategik bagi usaha mengukuhkan kedudukan di Sarawak,  walaupun tidak menang satu kerusipun.  Tapi undi popular PAS meningkat dari 1,901 hingga 9,719 undi, iaitu 0.35 kepada 1.04 peratus.  Jadi saya fikir kita boleh katakan PAS mulai diterima di kalangan Melayu di Sarawak.  Dan undi besar yang diperoleh PAS di Beting Maro merupakan satu yang signifikan dan BN hanya mendapat majoriti 391 undi. 

Kalau PAS terus konsisten bergerak ke akar umbi dengan melenturkan sedikit ideologi, jangan nampak sangat 'PAS ala-Kelantan' kerana demografi di Sarawak begitu berbeza apabila mereka tidak boleh menerima PAS yang dilihat terlalu keagamaan atau ekstrim.  Ia bukan sahaja sukar menembusi bukan Islam, malah Islam Sarawak juga tidak dapat terima.  Itu persepsi mereka terhadap PAS.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.