Kisah jernih, keruh dan bersih…

"Tuhan mengajarkan Adam nama-nama seluruhnya, yang apabila diminta malaikat menyebut nama-nama itu malaikat gagal menyebutnya, tetapi Adam menyebutnya dengan sempurna. Itulah kelebihan makhluk bernama manusia - ilmunya. Manusia adalah makhluk berilmu. Kerana berilmunya itulah maka para malaikat sujud hormat kepada manusia. Tetapi pada ketika itu juga iblis mengisytiharkan permusuhannya yang berterusan terhadap manusia."

"Maka bermulalah zaman pancaroba di negara ini, yang merosakkan satu demi satu nilai-nilai murni dan institusi-institusi penting dalam masyarakat, hingga hari ini keadaannya sudah menjadi begitu parah sekali."
Merujuk kepada detik-detik hitam pada ketika bumi bersih ini dikeruhkan, Dinsman berbicara secara terus terang, bahawa "keengganan para penulis, budayawan dan ilmuan, termasuk ulama kita memainkan peranan"; bahawa "kebanyakannya membisu, manakala yang bertugas di media mereka seperti berpakat membuat pembohongan demi pembohongan, membantu pihak berkuasa mempertahankan kuasa, walaupun pihak berkuasa itu jahat, zalim dan dimarahi rakyat", maka saya teringatkan hari kesepuluh bulan kesebelas empat tahun yang lepas, pada ketika bumi yang keruh lagi mengeruhkan dibersihkan, rakyat seramai 40,000 membanjiri kota dipaparkan keesokan harinya oleh media aurs perdana sebagai 4,000 atau 400.

Apabila sesebuah parti pemerintah terdesak untuk mempertahankan lanskap kuasa, maka lanskap minda dikorbankan. Biarkan sahaja kekeruhan institusi sedia ada. Asalkan lanskap kuasa dapat bertahan.
Wahai konco-konco parti pemerintah, jangan salah faham! Saya bukan berbicara mengenai kekuningan kota dan kaitannya dengan kecacatan sistem pilihan raya. Yang saya nak bicarakan ialah kecacatan pemerintah merangka sebuah belanjawan. Apabila lanskap minda dikorbankan dan lanskap kuasa sahaja dipertahankan, maka rejim kewangan yang kurang bijaksana dipakai selama-lamanya.

Semasa Belanjawan 2011 dibentangkan bulan Oktober tahun lepas, Menteri berperut buncit cuba melakar gambaran bahawa kerajaan bijak menguruskan kewangan negara malahan ditonjolkan betapa kerajaan berazam mengawal defisit fiskal negara dalam lingkungan 5.4%.
Apabila Dewan Rakyat kembali bersidang Jun ini, tiba-tiba Kementerian Pelajaran menuntut pertambahan peruntukan sebanyak RM1.314 bilion untuk menampung pembayaran emolumen kakitangan awam sementara Kementerian Kesihatan pula menuntut pertambahan peruntukan sebanyak RM1.009 bilion untuk menampung kekurangan emolumen pada tahun 2011 untuk Pegawai Perubatan pelbagai gred dan skim.
Kebijaksanaan kerajaan BN?
Apakah demi "menjernihkan" defisit fiskal negara supaya terkawal dalam lingkungan 5.4%, pemerintah "mengeruhkan" peruntukan kementerian dengan mengurangkan peruntukan emolumen semasa pembentangan Belanjawan 2011 dan kini kembali menuntutnya? Inikah yang bergelar kebijaksanaan pemerintah merangka sebuah belanjawan yang kononnya menyakinkan dari segi tata kelola peruntukan dan perbelanjaan?

Misalnya, Belanjawan 2009 mencadangkan defisit fiskal sebanyak 3.6% daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) namun angka sebenar 2009 menunjukkan defisit adalah sebanyak 7.0%.
Satu lagi misalan, Belanjawan 2008 mencadangkan defisit fiskal sebanyak 3.1% daripada KDNK namun angka sebenar 2008 menunjukkan defisit sebanyak 4.8%. Maka apakah angka sebenar defisit fiskal 2011 apabila Belanjawan 2011 secara sengaja atau tidak sengaja tidak memasukkan peruntukan emolumen yang sepenuhnya? Seolah-olah pegawai kerajaan yang ditugaskan untuk membuat perancangan peruntukan kementerian tidak memahami keperluan kementerian. Ataupun, pegawai kerajaan terpaksa mengikut selera Menteri berperut buncit semasa merangka sebuah belanjawan dan terpaksa mengetepikan kebijaksanaan diri?
Negara Greek yang pada satu ketika dahulu terkenal dengan idea-idea ahli falsafah Socrates, Plato dan Aristotle kini berhadapan dengan krisis hutang negara yang cukup serius sehingga pelbagai pihak menjangkakan krisis kewangan sedunia 2008 mungkin kembali menghantui dunia kewangan.
Apa yang berlaku di Greek...
Apabila diteliti angka-angka berkaitan termasuk defisit fiskal negara Greek yang melambung tinggi sehingga mencecah 15.4% pada tahun 2009, mungkin tidak munasabah jika dibandingkan Malaysia dengan Greek. Namun, penelitian hala tuju rejim kewangan adalah mustahak kerana lanskap minda pihak yang menguruskan perihal kewangan negara bakal mencorakkan lanskap kewangan dan ekonomi negara.
Apa yang akan berlaku dalam masa lima tahun akan datang? Jika sekiranya trajektori Greek mencorakkan lanskap kewangan dan ekonomi negara kita pada masa depan, saya bimbang, lonjakan angka sebenar hutang dan defisit fiskal negara bakal memeranjatkan menteri-menteri berperut buncit yang juga bermuka kekuning-kuningan.
Rejim pemerintah Greek didapati memanipulasi angka sebenar defisit fiskal negara. Defisit fiskal negara Greek pada tahun 2010 yang dikatakan berkisar sekitar 6-8%, kemudian didapati telah melonjak kepada 9.1%. Pendedahan seterusnya bukan sahaja menyangkal angka rasmi yang diumumkan oleh pemerintah malahan memeranjatkan dunia kewangan dengan angka 12.7%.
Sementara itu, angka hutang dan defisit fiskal negara kita yang diumumkan oleh pemerintah semacam berpatutan. Namun, bukan semua pihak merasa yakin dengan angka rasmi yang diumumkan oleh pemerintah. Umpamanya, Angka yang dibekalkan oleh Thompson Reuters jauh berbeza dengan angka rasmi Kerajaan Malaysia.

Menurut senarai bond yang dikeluarkan untuk Malaysia oleh Thompson Reuters Eikon, setakat Jan 2011, jumlah bond adalah lebih daripada RM500 billion tetapi angka yang diumumkan oleh Menteri berperut buncit menyatakan angka berkaitan hanyalah lebih kurang RM200 billion.
Setelah memahami asas-asas kepada kebimbangan pelbagai pihak terhadap kemampuan rejim pemerintah menguruskan kewangan negara, nampaknya banyak lagi institusi yang perlu dibersihkan namanya supaya yang keruh itu dijernihkan.
*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.
0 orang berkata:
Post a Comment