Umno Punca Wibawa Polis Terhakis - Ditulis oleh Radzi Razak
KUALA LUMPUR 28 JUN : Tindakan ke atas pemimpin parti pembangkang dan penganjur Bersih 2 serta provokasi Pemuda Umno di depan Ibupejabat Parti Keadilan Rakyat menunjukkan kewibawaan polis semakin terjejas akibat campurtangan Umno, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Inilah satu negara dimana tuntutan mengadakan pilihan raya bebas itu dikecam oleh media UMNO dan pimpinan UMNO (dan) polis tidak akan bertindak tanpa arahan dari UMNO," kata beliau.
"Saya tahu dan ikuti perkembangan dan tanggungjawab polis. Kalau dibiar menjalankan tanggungjawab secara profesional, saya yakin dengan kewibawaan Polis. Masalahnya, bila campurtangan politik UMNO berlebihan, imej profesionalisme polis itu juga terjejas.Kita sebagai warganegara wajib pertahankan imej dan kewibawaan Polis," tambah Ketua Pembangkang itu.
Anwar berkata demikian setelah disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi Kuala Lumpur bersabit perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini untuk menuntut pilihanraya adil dan telus.
Beliau antara deretan pemimpin politik selain penganjur Bersih 2.0 yang disiasat di bawah Akta Polis dan Akta Hasutan. Turut disoal Sasterawan negara A.Samad Said yang membacakan sebuah puisi pada majlis pra-perhimpunan Bersih itu.
Bagaimanapun polis tidak mengambil sebarang tindakan malam tadi untuk meleraikan hampir 600 ahli dan penyokong Pemuda Umno yang dilaporkan mengugut untuk membakar ibupejabat PKR di Tropicana. Ibu pejabat PKR itu terletak kurang 100 meter daripada sebuah balai polis.
"(Kita) berbeda dengan gerombolan UMNO malam tadi di ibu pejabat PKR. Mereka maki hamun ugutan membakar dan membunuh tapi polis tak berupaya buat apa-apa. Nyata ada arahan politik," kata Anwar.
Anwar melahirkan rasa kesal kerana keengganan polis bertindak terhadap kumpulan itu semalam hanya menyerlahkan tanggapan polis dibawah telunjuk Umno.
"Mana ada perhimpunan yang ugut nak dibakar dibiarkan saja seolah-olah polis tak diberi ruang untuk buat apa-apa," kata beliau.
Anwar dipanggil memberi keterangan di IPD Dang Wangi hari ini berikutan ucapannya di Brickfields bulan lalu yang menyokong himpunan bersih.
Beliau tiba kira-kira jam 4.50 petang diiringi Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Peguam R Sivarasa, N. Surendran, Latheefa Khoya serta Fadiah Nadwa Fikri.
Menurut Anwar, beliau mempertahankan hak rakyat untuk berkumpul secara aman dan menuntut Pilihan Raya Bebas dan Adil dan menyatakan hak ini kepada Polis.
Beliau kesal dengan perlakuan UMNO cuba mengapi-apikan rakyat dengan menggunakan media arus perdana bagi mengutuk tuntutan Bersih supaya pilihanraya umum dijalankan secara adil dan bebas daripada penyelewengan.
"Apa yang kami mahu ialah apa yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Tapi sekarang, mereka (UMNO) menyatakan Pemimpin pembangkang dan Bersih mahu membuat keadaan kacau bilau. Pemimpin UMNO mahu meneruskan proses pilihan raya pincang ini kerana takut orang ramai bangkit menuntut pilihan raya yang adil dan telus," tegasnya.
Anwar berkata penganjur Bersih tidak melakukan sebarang kesalahan menganjurkan perhimpunan itu, malah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) sendiri menyokong perarakan itu.
Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam menyatakan hak berkumpul secara aman termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.
Justeru Anwar menyatakan tiada sebab untuk Polis bekerjasama dengan bersih dalam soal menjaga pergerakan para rakyat yang berhimpun seperti negara lain.
"Dengan cara yang sedemikian saya yakin perbincangan antara pihak polis dan bersih boleh dilakukan," kata beliau.
0 orang berkata:
Post a Comment