Hentikan Tekanan Terhadap Perhimpunan BERSIH
KENYATAAN MEDIA
UNTUK HEBAHAN SEGERA
UNTUK HEBAHAN SEGERA
Petaling Jaya, 29 Jun 2011 – Sungguh mengaibkan. UMNO dan BN yang telah mengurus negara hampir selama 54 tahun, masih menggunakan pendekatan ugutan dan menakut-nakutkan rakyat bagi menghalang Perhimpunan BERSIH.
Segala ancaman dan tekanan pemerintah BN terhadap aktivis perhimpunan ini adalah manifestasi dari ketakutan dan kecemasan melulu mereka kepada keberanian rakyat dalam menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem pilihanraya negara ini. Lojiknya, selepas sekian lama mentadbir negara dan sistem pilihanraya pula memang dijalankan secara telus dan adil, BN dan UMNO seharusnya menerima pandangan dan suara rakyat ini secara jantan dan berjiwa besar.
Kritikan rakyat terhadap kaedah pilihanraya diurus di negara ini terlalu banyak rasionalnya. SPR sendiri berulang kali menyatakan bahawa sistem yang ada memang banyak kelemahannya. Malah, mengakui tidak berupaya memperbaikinya berasaskan peruntukan undang-undang yang sedia ada. Lebih jauh, persepsi rakyat kini, SPR bukan sahaja banyak kelemahan, malah amat ketara menunjukkan sikap memihak dan gagal mengurus undi rakyat secara telus, adil dan meyakinkan.
KEADILAN kesal terhadap tindakan menyekat dan menangkap para aktivis Perhimpunan BERSIH yang sedang dilakukan sekarang. KEADILAN juga kecewa dengan kaedah pihak berkuasa dan instrumen pemerintah yang menggunakan pendekatan melabel kelompok rakyat yang menyokong perhimpunan secara aman.
Lebih buruk, ada pula media pendokong UMNO yang menggunakan pendekatan ekstremis agama dan rasis dalam usaha mereka menyekat suara rakyat ini. Dalam hal ini tindakan pemerintah menahan 30 aktivis PSM serta menuduh mereka cuba menghidupkan semula ideologi komunis adalah tindakan terburu-buru dan cemas yang melulu.
KEADILAN menyokong tuntutan Perhimpunan Bersih yang dirancang teliti supaya berlangsung secara aman pada 9 Julai ini. Adalah menjadi hak asasi rakyat untuk Kenyataan Media Ketua Penerangan Halaman 2/2 berhimpun secara aman dan menyuarakan hasrat mereka sesuai dengan apa yang ada di dalam perlembagaan. Kenyataan Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam yang telah menyeru pihak berkuasa membenarkan Perhimpunan Bersih ini seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan adalah amat dipersetujui dan disokong.
Lapan Tuntutan Perhimpunan Bersih itu adalah suara hati nurani rakyat yang sudah sekian lama disuarakan melalui pelbagai saluran. Sekiranya ia dilaksanakan sepenuhnya, sudah pasti negara dapat mewujudkan sistem pemilihan kepimpinan negara yang lebih utuh, dipandang tinggi oleh rakyat dan dihormati masyarakat antarabangsa. Ini akan mewujudkan budaya masyarakat madani (civilized society) ke arah negara yang lebih maju, adil dan makmur.
Anehnya, jika pilihanraya yang bersih akan menguntungkan kesemua pihak – pemerintah dan yang diperintah, mengapa pula UMNO terlalu takut dengan pilihanraya yang bersih?
Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan
Ketua Penerangan
0 orang berkata:
Post a Comment