Negara Berkebajikan lindungi semua kaum |
Posted on Sunday, June 19 @ 16:00:00 PDT by paktam
Oleh Abd Shukur Harun
MAJORITI perwakilan yang mengundi dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS d
alam muktamarnya ke-57 minggu lalu sudah pun menghantar isyarat jelas bahawa mereka mahukan perubahan dalam parti, terutama untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13
alam muktamarnya ke-57 minggu lalu sudah pun menghantar isyarat jelas bahawa mereka mahukan perubahan dalam parti, terutama untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 Sepanjang selepas muktamar itu – hingga kini - pelbagai ulasan, pandangan dan sebagainya tidak putus-putus diberikan oleh pelbagai pihak baik dalam media, mahupun perbualan dan sebagainya. Ini menunjukkan minat orang ramai yang sangat besar terhadap perubahan dalam PAS.
Namun persoalannya di sini ialah, apakah yang dimaksudkan perubahan itu dan bagaimana mengisi makna perubahan di dalam PAS itu sendiri.
Pucuk pimpinan yang dipilih dalam muktamar tersebut memanglah tepat dalam erti bahawa ramai orang yakin pasukan yang dipilih itu mampu membawa perubahan sesuai dengan iklim politik sekarang.
Baik Mohamad Sabu dan tiga naib presiden serta AJK-nya diharapkan mampu membuat perubahan kepada PAS – daripada sebuah parti politik yang dilihat umum sebagai bersifat eksklusif, kepada parti yang bersifat nasional dan terbuka, menunjukkan kepedulian kepada masalah rakyat pelbagai kaum.
Dengan itu tibalah kini kepada persoalan sebenar, bagaimana untuk mengisi makna perubahan dalam parti itu. Dengan kata-kata, secara retorik mungkin mudah menjawabnya.
Bagaimanakah konsep Negara Berkebajikan – yang menjadi tema Ucapan Dasar Presiden di muktamar tersebut – untuk diperincikan dan seterusnya dilaksanakan, terutamanya di dalam PAS dan Pakatan Rakyat itu sendiri.
Rakyat mahukan penjelasan yang menyeluruh dan meyakinkan mengenai konsep Negara Berkebajikan itu dan bagaimana program serta pelaksanaannya. Bagaimana ia menangani masalah kemiskinan semua rakyat, kebejatan ekonomi, melahirkan pengurusan yang baik – good governance, keadilan dalam semua bidang kehidupan, peluang yang sama rata untuk rakyat pelbagai kaum, pelaksanaan demokrasi supaya hidup subur dan pelbagai lagi.
Semuanya ini ada dalam konsep Islam - ‘Negara yang baik, mendapat keampunan Allah SWT’. Ini disebut di dalam al-Quran. Oleh itu bagaimanakah PAS hendak menterjemah dan melaksanakan konsep ini. Ia tidak boleh disebut-sebut secara umum saja, atau hanya retorik, tetapi rakyat mahu melihat perinciannya.
Buku Jingga yang dikeluarkan oleh Pakatan Rakyat boleh menjadi garis panduan ‘Negara Berkebajikan’ itu, tetapi ia mesti diperincikan lagi. Di sinilah terletaknya ujian berat kepada kepimpinan PAS yang baru dipilih dalam muktamar tersebut, malah kalau boleh disebut, inilah jihad yang sedang dihadapi. Sebarang kegagalan menterjemahkan secara terperinci makna “Negara Berkebajikan’ ini akan menyebabkan PAS akan tewas di medan tempur yang amat penting ini.
‘Negara Berkebajikan’ ini sudahpun menjadi manifesto pilihan raya PAS 2008. Ertinya ini bukan hal baru disebut oleh PAS. Justeru tidak perlu ada pihak – khususnya pemimpin Umno-BN - yang terkejut, gamam, panik, malah marah-marah kononnya Umno-BN sudah pun lebih dulu melaksanakannya.
Namun mereka lupa bahawa rakyat yang prihatin sentiasa menilai apakah benar konsep tersebut sudah dilaksanakan oleh Umno-BN. Bolehkah dinafikan berlaku pelbagai diskriminasi antara mereka yang tidak menyokong Umno-BN dengan mereka yang menyokongnya? Mengenai pelbagai bantuan diberikan kepada yang menyokong mereka dan begitu sebaliknya ketika pilihan raya?
Bolehkah dinafikan bagaimana pelbagai kepincangan berlaku dalam sistem penguatkuasaan peraturan dan undang-undang? Berlaku pelbagai kepincangan dan monopoli terhadap pemberian pelbagai tender projek – kecil dan besar. Berleluasanya fitnah dan kebejatan moral bukan saja di kalangan remaja, bahkan juga mereka yang sudah dewasa (seperti apa yang berlaku kepada tayangan video lucah yang meluas. Lebih parah lagi isu perkauman semakin meruncing.
Berlaku di mana maruah dan hak individu rakyat tergugat serta fitnah menjadi sebahagian daripada budaya ahli politik tertentu, sehingga rakyat melihat dunia politik begitu gerun dan jijik. Pada hal sepatutnya wujud politik beradab dan mematuhi kehendak Islam.
Semuanya ini sedang berlaku di tengah-tengah masyarakat, menyebabkan rakyat sentiasa merasa bimbang, tidak selamat, malu, kebingungan dan kecewa yang amat sangat. Dalam masa yang sama imej Islam tercemar kerananya. Ertinya di sini, bahawa Umno-BN gagal melaksanakan negara berkebajikan ataupun mereka tidak pernah memikirkan hal ini.
Oleh itu, PAS menawarkan ‘Negara Berkebajikan’ berasaskan al-Quran dan Sunnah, justeru kitab suci itu sudah pun melakarkan dengan jelas konsep tersebut dan mengarahkan supaya menegakkan keadilan dan amar makruf nahi mungkar sebagai paksi utamanya.
Tinggal lagi yang diperkatakan di sini ialah perlunya pendukung PAS menjelaskan secara terperinci dan konkrit pelaksanaan ‘Negara Berkebajikan’ ini supaya ia tidak hanya tinggal menjadi retorik. Dalam masa yang sama, rakyat bukan Islam mesti didekati dan dilindungi. Dengan itu, pendukung PAS jangan lagi hanya berlegar di sekitar markas, masjid, surau atau kelompok sendiri saja. Ia mesti dilihat berada di mana-mana.
Dalam hubungan ini saya yakin pimpinan PAS yang baru dipilih ini mampu meluaskan interaksi dengan rakyat pelbagai kaum dan agama. Ini supaya konsep ‘Negara Berkebajikan’ itu benar-benar dapat dinikmati oleh semua rakyat jika Pakatan Rakyat memerintah di Putrajaya.
Sepanjang yang diketahui, negeri-negeri yang kini diperintah oleh Pakatan Rakyat sudah pun melaksanakan konsep tersebut secara bertahap, walaupun mendapat pelbagai kekangan daripada pihak tertentu yang memusuhi Pakatan Rakyat.
Rakyat di negeri Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang sudah menikmati kesaksamaan, keadilan, bantuan yang tidak melalui pintu-pintu diskriminasi, jaminan bantuan kepada rakyat miskin pelbagai kaum, jaminan mendapat bantuan pendidikan dan pelbagai lagi.
Ini adalah bukti bahawa rakyat di bawah kerajaan Pakatan Rakyat sudah menikmati erti ‘Negara Berkebajikan’. Oleh itu pimpinan PAS hendaklah menjadikan tema ‘Negara Berkebajikan’ ini sebagai sesuatu yang wajib dijelaskan secara terperinci kepada rakyat.
Sudah tentu rakyat pelbagai kaum akan menerima gagasan ini dan akan menyokong perjuangan PAS melalui Pakatan Rakyat. Dalam hal ini PAS mestilah dilihat bukan saja concern dengan nasib umat Islam, bahkan nasib dan kebajikan kalangan bukan Islam, barulah ia memenuhi makna PAS For All.
Inilah tugas paling mencabar bagi PAS dan inilah juga jihad kerana menegakkan keadilan dan amar makruf nahi mungkar. Saya percaya rakyat pelbagai kaum sedang menanti dan membina harapan supaya konsep ‘Negara Berkebajikan’ ini benar-benar terlaksana. Inilah amanah yang sangat penting untuk dilaksanakan, bukan saja oleh pimpinan PAS yang baru dipilih, tetapi juga oleh seluruh pendukung Pakatan Rakyat.


0 orang berkata:
Post a Comment