Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

GERAKAN ILMUAN BERTERUSAN

Allahyarham Hassan: Kerajaan boleh jatuh jika enggan dengar ‘suara’ ilmuan

September 01, 2011
 
KUALA LUMPUR, 1 Sept — Dilihat temu bual terakhir dengan media, bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Allahyarham Datuk Dr Hassan Ahmad berkata, protes atau gerakan diketuai oleh golongan ilmuan akan berterusan dan mendatangkan kesan buruk jika kerajaan mengambil pendirian tidak mahu mendengar langsung suara mereka.

“Saya fikir begitu, ya, ya,” kata beliau ketika ditemui baru-baru ini, mengulas peranan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dalam tuntutan pembaharuan pilihan raya oleh Bersih 2.0.
Hassan (tengah) mengetuai perarakan Gerakan Anti PPSMI ke Istana Negara pada 2009. — Foto ihsan mundarmandir2.blogspot.com
Samad, 76, dilihat oleh banyak sebagai ikon sosiopolitik baru negara dan mengetuai perarakan Bersih 2.0 sehingga ke Stadium Merdeka pada 9 Julai lalu.
 
Sehubungan itu, tegas Hassan, jika kerajaan memutuskan untuk terus enggan mendengar suara golongan budayawan dan sasterawan, maka ia adalah petanda awal kejatuhan kerajaan.
Sebaliknya nasihat beliau, imej kerajaan yang tercalar boleh pulih jika pentadbiran Najib sanggup untuk mendengar suara mereka.
Hassan, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya semalam. Temu bual kira-kira sejam dirancang untuk disiarkan minggu ini.
Beliau sendiri pernah mengetuai perarakan Gerakan Anti PPSMI di ibu negara tiga tahun lalu.
Kata beliau, apa yang disaksikan dalam sejarah dunia sebelum ini sudah mula berlaku di Malaysia.

“... sebab kita tengok dalam sejarah, ini sudah berlaku di Malaysia sekarang ini, dalam sejarah, perubahan... revolusi ataupun perubahan besar, perubahan sosial sampai ke tahap revolusi, rakyat misalnya, mereka menggerakkan, diketuai oleh orang ilmuan termasuk ahli sains, pemikir saya sebutkan tadi, Noam Chomsky, ahli sains, ahli falsafah misalnya, Lord Bertrand Russel, dia antiperang, dia boleh berdiri di depan lori... bukan lagi masyarakat biasa, tapi ilmuan,” kata beliau semasa ditemui di pejabatnya di Yayasan Karyawan, Pusat Bandar Damansara.

“Jadi ilmuan ini, seorang dua ilmuan ini pergi ke depan, (maka) orang lain pun ikut, terpengaruh sebab mereka (ilmuan) ini tiada kepentingan diri, dia tiada kepentingan politik macam Samad, dia seorang (orang) Melayu, tetapi dia punya perjuangan, dia punya idealisme atau dia punya prinsip memikat setiap orang,” kata bekas Wakil Tetap ke Unesco ini.

Allahyarham Hassan juga berkata, beliau percaya yang pemimpin-pemimpin politik juga sedar mengenai perkara tersebut tetapi mereka tidak mahu mengakuinya.

“Saya percaya, malah Umno sendiri pun, kerajaan sendiri pun sudah insaf, tapi ia tak mahu cerita, ia malulah... ego, ego. Insaf bahawa orang-orang seperti Samad Said, Sasterawan Negara, yang dahulu kita bagi hadiah, anugerah sastera negara, dia sendiri berani ke depan, ditembak (dengan gas pemedih mata) dia pergi, ditangkap dia pergi... dia pergi juga,” kata beliau sambil menambah, tentu “ada satu pendirian yang kuat, yang benar.”

Bagaimanapun beliau menegaskan, pendirian itu bukan sesuatu yang bersifat emosional dan tidak mengikut emosi.

“Bukan emosional, tidak emosi. Jadi bagi saya, sudah sampai masa bagi kerajaan untuk mendampingi orang-orang, mesra dengan mereka, cakap dengan mereka, jangan menaikkan kemarahan mereka, maka kerajaan punya imej akan pulih, boleh pulih, libatkan mereka bersama,” kata beliau.

Hassan seterusnya memberitahu, beliau merasakan sudah sampai masanya bagi kerajaan untuk memahami tulisan “pada dinding” yang hendak disampaikan oleh gerakan ilmuan dan cendekiawan.

“(Walaupun) mereka faham tetapi tidak mahu mengakui dan sebaliknya mahu bertindak bertentangan untuk mengekalkan kuasa mereka, maka itu adalah permulaan kepada kejatuhan kerajaan.

“Kalau mereka bertindak bertentangan dengan semua kebenaran, semua alasan dalam usaha melindungi dan mempertahankan kuasa mereka... kuasa politik, kuasa ekonomi, maka itu adalah permulaan kejatuhan mereka,” katanya.

Hassan, 75, ketika menghembuskan nafas terakhir petang semalam berkata, beliau percaya rakyat biasa juga mula meragui dan membenci kerajaan apabila pihak berkuasa mengenakan tindakan keras ke atas personaliti-personaliti seperti Samad.

“Anda (kerajaan) mesti bertindak, jangan anda dilihat sebagai seseorang yang menjaga kepentingan diri, kuasa,” katanya lagi.

Allahyarham Hassan juga berkata, individu yang memegang jawatan perdana menteri seharusnya bertindak sebagai ketua kerajaan untuk semua rakyat Malaysia, bukan parti yang diwakilinya.

“Anda menjadi perdana menteri Malaysia, mesti memisahkan antara jawatan awam dan presiden Umno, tetapi saya perhatikan kerajaan pertahan diri dan menyerang, anda bertindak sebagai presiden parti, (tetapi) sebagai pemegang jawatan awam, penyandang jawatan perdana menteri... perdana menteri untuk rakyat Malaysia. Dasar negara adalah dasar untuk kepentingan semua rakyat, bukan untuk kepentingan parti,” ujar beliau.

Secara tradisi selama ini perdana menteri Malaysia merupakan presiden Umno dan bertindak sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN). Najib merupakan perdana menteri keenam dan menyandang jawatan ini sejak April 2009.

Perhimpunan Bersih 2.0 dilihat sebagai ujian terbesar dan kajian Merdeka Center yang dikendalikan susulan perarakan itu menunjukkan populariti Najib menjunam sehingga 59 peratus.

“... ini silapnya, silap ketua BN sejak dari dulu. Dia tidak dapat pisahkan antara tanggungjawab pemegang jawatan awam dan tanggungjawab politik parti. Tentu parti boleh kawal kerajaan... dasar parti mesti diikuti, tetapi apabila anda melaksanakan dasar negara, dasar parti tiada, dia pemegang jawatan awam. Menteri misalnya, menjawab keselamatan negara adalah soal negara, bukan soal Umno,” tambah beliau.

Hassan seterusnya memberitahu, “saya nasihat, antara parti dan kerajaan, beliau (perdana menteri) adalah pemegang jawatan awam, dilantik oleh Agong, bercakap secara teori, Agong yang melantik beliau, bertanggungjawab kepada perlembagaan.”

Oleh itu katanya, perdana menteri bukan lagi orang parti, tetapi mereka terus berhujah seperti “orang parti, parti Umno.”

“Seolah-olah keseluruhan kerajaan milik Umno. Ini yang menjadi masalah, anda kata Umno, Umno, BN, BN,” kata Hassan secara terbuka mengenai politik negara.

Hassan juga menyentuh panjang lebar mengenai perkembangan politik sejak pilihan raya umum 2008.

Katanya, beliau lazimnya memberitahu banyak pihak bahawa pemimpin-pemimpin politik negara pandai mencipta masalah daripada menyelesaikan isu-isu yang wujud.

“Jadi (itu sebabnya) dasar (sukar) nak jadi stabil, dasar kerajaan mengambil masa untuk stabil. Apabila penstabilan dasar mula memuncak, anda menjejaskan dasar (sedia ada)... menteri, pemimpin perdana menteri baru, anda merosakkan dasar-dasar yang ada... macam PPSMI,” katanya.

Putrajaya memutuskan untuk mengubah dasar PPSMI atau Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tahun lalu selepas dilaksanakan sejak 2003.

Selain itu kata Allahyarham Hassan, kerajaan juga perlu mengambil pendirian memberitahu perkara yang sebenar dan memberi maklumat betul kepada rakyat untuk membina keyakinan orang ramai.

“Satu lagi anda kena memberitahu yang benar kepada rakyat. Jangan sembunyikan... anda kena menyertakan bersama penglibatan rakyat, anda kena berhujah dengan rasional, bukannya mencetuskan masalah.
“Ada orang seperti, nanti kalau cakap akan marah, saya tak mahu sebut. Ada seorang menteri... bila dia bercakap, jadi isu, tak guna akal. Kalau pegawai cakap begitu, dia akan ikut. Saya tidak, saya pernah menjadi ketua banyak organisasi. Bukan saya kata saya ini pandai, tetapi sebagai ketua kena perlu berhati-hati,” katanya lagi.
free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.