Sistem dua gabungan parti | |
Posted on Sunday, July 31 @ 15:43:50 PDT by paktam
Oleh: Ghazali Mayudinghazalimayudin@yahoo.com
Semenjak merdeka, sistem parti di Malaysia termasuk dalam kategori sistem parti dominan di mana terdapat banyak parti politik tetapi hanya satu parti sahaja yang sentiasa menang dan menguasai kerajaan. Perikatan/Barisan Nasional adalah parti dominan yang telah menguasai kerajaan pusat dan hampir semua kerajaan negeri semenjak merdeka sehingga sekarang.
Sebagaimana yang sering berlaku sebelum ini, kewujudan atau kemenangan gabungan parti pembangkang akan diwarwarkan sesetengah pihak sebagai bermulanya kemunculan sistem dua parti di negara ini.
Pada awal 1990an, wujudnya gabungan parti pembangkang dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat memberi harapan kepada pihak tertentu dan menganggapnya sebagai satu permulaan yang baik kearah kemunculan sistem dua parti.
Namun harapan itu tinggal harapan, apatah lagi apabila kedua-dua gabungan itu gagal bertahan lama dan akhirnya hilang daripada arena politik Malaysia. Kini Pakatan Rakyat dilihat berpotensi dan diharap mampu menggantikan BN dan membawa Malaysia ke arah sistem dua parti. Adakah harapan ini akan menjadi kenyataan atau masih harapan palsu sebagaimana sebelumnya.
Kalau diamati pekembangan dalam negara yang pernah diperintah parti dominan, tidak ada yang yang bertukar kepada sistem dua parti apabila parti dominan dikalahkan dalam pilihan raya atau tidak lagi berkuasa. Parti Kongres di India, Liberal Democratic Party (LDP) di Jepun dan Golkar di Indonesia adalah parti dominan yang pernah tewas setelah berkuasa untuk satu jangka masa yang panjang.
Setelah parti dominan ini tewas, parti lain pula berkuasa. Pada masa yang sama terdapat banyak parti lain yang bersaing untuk mendapatkan kuasa atau sekurang-kurangnya menghantar wakil ke dewan perundangan. Memang benar pengalaman di negara lain tidak semestinya berulang di Malaysia kerana pengalaman dan latar belakang sosiopolitik yang berbeza.
Namun perbezaan yang lebih ketara adalah diantara latar belakang Malaysia dengan negara yang terdapat sistem dua parti. Di Amerika Syarikat terdapat hanya dua parti utama iaitu Demokrat dan Republikan yang dari awal lagi telah menampakkan pebezaan dari segi latar belakang penyokongnya, dasar, pendekatan dan cadangan penyelesaian masalah dan isu utama dalam masyarakat.
Demokrat lebih berpengaruh di bahagian selatan dan menekankan kepada menjaga kepentingan golongan miskin dan kelas bawahan. Republikan pula lebih menumpukan kepada hak individu.
Kedua-dua parti ini juga menyarankan atau mengambil langkah yang berbeza bagi mengatasi masalah atau menangani isu tertentu saperti kemelesetan ekonomi tahun 1930an, Perang Dunia Kedua, Perang Vietnam, langkah mengatasi kemelesetan ekonomi semasa, pendudukan Amerika di Iraq dan Afghanistan. Misalnya Demokrat menyarankan tentera Amerika dibawa keluar sementara Republikan lebih cenderung untuk meneruskan kehadiran tentera Amerika di negara berkenaan.
Dalam pilihan raya, terutamanya pilihan raya presiden, calon yang bertanding mengemukakan pendapat, cadangan dan memperdebatkan isu yang menjadi fokus semasa. Pada hari mengundi, rakyat membuat pilihan di kalangan calon yang bertanding dengan mengambilkira pendapat dan cadangan yang dikemukakan semasa berkempen.
Kemenangan Obama yang berjanji akan membawa keluar tentera Amerika dari Iraq secara tidak langsung membayangkan kehendak rakyat agar tentera Amerika diundurkan. Dengan itu rakyat menolak pandangan saingan Obama dari Republikan yang ingin meneruskan kehadiran tentera Amerika di Iraq.
Oleh itu dalam sistem dua parti, rakyat diberikan pilihan dari segi dasar, pendekatan dan langkah mengatasi masalah dan menangani isu dan persoalan semasa. Rakyat Malaysia yang telah lebih lima dekad berada pemerintahan parti dominan Perikatan/Barisan Nasional tentunya lebih berhati-hati dan tidak mudah diyakinkan untuk melakukan perubahan.
Beberapa persoalan mungkin ditimbulkan saperti apakah bezanya diantara BN dengan Pakatan Rakyat? Apakah yang ada pada PR tetapi tidak ada pada BN? Mengapakah dan bagaimanakah mengundi PR boleh menguntungkan mereka dan keluarga? Sebahagian daripada persoalan itu mungkin dijawab dalam manifesto yang turut juga memuatkan janji pilihan raya.
Janji itu pula akan lebih meyakinkan sekiranya janji yang dibuat semasa pilihan raya Mac 2008 telah dilaksanakan dalam empat buah negeri yang dikuasai PR dan pertukaran parti yang memerintah telah memberi impak yang positif kepada kehidupan rakyat.
Oleh kerana telah wujud banyak parti, maka yang akan muncul bukanlah sistem dua parti tetapi sistem dua gabungan parti yang boleh bekerjasama untuk mendapatkan kuasa dan kemudiannya bersedia pula untuk berkongsi kuasa.
Ketiadaan esprit de corp (perasaan kekitaan) di kalangan rakyat menjadi penghalang kepada kemunculan sistem dua parti di Malaysia. Bagaimanakah perasaan itu akan wujud sekiranya rakyat Malaysia dari zaman kanak-kanak lagi sehingga remaja dipisahkan mengikut etnik semasa dalam alam persekolahan?
Agak menakjubkan kalau mereka tidak pernah makan semeja dan belajar sebumbung, kemudian apabila dewasa diharapkan akan bersama dalam satu parti politik. Benih sistem dua gabungan parti telah disemai disekolah dan hasilnya dituai dalam kancah politik negara.
Penulis adalah mantan Profesor Madya, Program Sains Politi, UKM.
0 orang berkata:
Post a Comment