KETUA HAKIM NEGARA YANG BARU
September 05, 2011
KUALA LUMPUR, 5 Sept – Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 12 September ini, menggantikan Tun Zaki Azmi yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada tarikh berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Tuanku Mizan juga memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Arifin manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Md Raus Sharif dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersara awal.
Kesemua pelantikan itu berkuat kuasa 12 September, demikian menurut laporan Bernama Online.
0 orang berkata:
Post a Comment