8 PERKARA TUNTUTAN TAK BOLEH LUPA, KITA TAK LUPA DAN TERUS TUNTUT
Bersih: Langkah diumum tak cukup, SPR harus laksana semua lapan tuntutan
December 21, 2011
KUALA LUMPUR, 21 Dis – Bersih 2.0 mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan kesemua lapan tuntutan yang telah dikemukakan oleh pihaknya sebelum ini meskipun agensi pelaksana pilihan raya itu sudah mula mengambil beberapa langkah.
“Bersih 2.0 menggesa SPR agar mempercepatkan pelaksanaan kesemua lapan tuntutan yang telah diletakkan sebelum pilihan raya umum akan datang,” kata gabungan tuntutan pilihan raya itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Kata Bersih 2.0, kesemua lapan tuntutan yang diletakkan pihaknya adalah penting bagi memastikan tahap minimum pilihan raya yang bersih dan adil dapat dirasai.
Dengan merujuk kepada beberapa pengumuman kelmarin, tegas Bersih 2.0, walaupun SPR sudah mengambil langkah-langkah ke arah pembaharuan pilihan raya, langkah-langkah yang diumumkan belum cukup memadai dalam memastikan tahap keadilan minimum yang diperlukan.
Kelmarin, SPR mengumumkan penggunaan dakwat kekal dan pengundian di peti undi membabitkan anggota tentera dan polis, bukan lagi menggunakan sampul surat di bawah sistem pengundian pos.
Anggota pasukan keselamatan itu akan mengundi lebih awal. Kenyataan Bersih 2.0 berkata, Januari 2012 akan genap enam bulan sejak perhimpunan 9 Julai diadakan apabila sekitar 50,000 rakyat Malaysian turun ke jalan raya menuntut pembaharuan pilihan raya.
Sejak tempoh itu katanya, SPR hanya komited untuk memenuhi satu daripada lapan tuntutan khususnya dakwat kekal.
“Permintaan pembaharuan undi pos hanya sebahagian sahaja dilaksanakan manakala enam yang lain masih belum diatasi,” katanya.
Selain itu, Bersih 2.0 juga kecewa kerana Rang Undang-undang Perhimpunan Aman diluluskan oleh Dewan Negara semalam meskipun kandungannya bercanggah dengan hak fundamental untuk berhimpun.
“(Oleh itu) pilihan raya yang bersih dan bebas adalah fantasi apabila kebebasan sivil dikongkong,” katanya.
Justeru, katanya, pihaknya mahukan usaha mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong agar langkah mewartawkan undang-undang ditangguhkan.“Rang Undang-undang itu harus ditarik balik dengan segera,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment