Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Akta Kerja: Gabungan mahu bawa undi tak percaya atas pemimpin kanan MTUC

TERKINI @ 10:32:35 PM 15-12-2011
December 15, 2011
 
KUALA LUMPUR, 15 Dis Sebuah kesatuan gabungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memutuskan untuk membawa undi tidak percaya ke atas kepimpinan tertinggi badan induk pekerja atas alasan terus membisu dalam isu pindaan Akta Kerja.

MTUC memprotes Rang Undang-undang Kerja khususnya berkaitan dengan sistem kontraktor bagi tenaga kerja.

Sambil mendakwa presiden dan setiausaha agung tidak memperlihatkan sikap proaktif mengenakan tekanan ke atas kerajaan dan gagal memberi gambaran mengenai perkembangan semasa, Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja KTM Berhad Abdul Razak Md Hassan berkata, pihaknya akan membawa usul itu pada mesyuarat majlis am MTUC akan datang.

“Kejayaan yang ditinta oleh kepimpinan MTUC hari ini perlu dibayar tinggi nilainya, maka sudah tentu pembayaran yang akan dibuat ialah dengan membuat undi tidak percaya ke atas mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Pagi tadi, beliau bersama pemimpin MTUC Selangor-Wilayah Persekutuan mengadakan piket di pekarangan bangunan Parlimen dan menyerahkan memorandum kepada anggota Dewan Negara.

Piket hari ini tidak disertai oleh presiden dan setiausaha agung, kata beliau. Pengerusi MTUC Selangor-Wilayah Persekutuan N Gopal Kishnam ketika dihubungi berkata, “saya sudah maklumkan kepada mereka (presiden dan setiausaha) tetapi tiada respons.”

“Kami mengadakan piket berdasarkan mandat yang diberikan kepada kami oleh majlis am sebelum ini,” katanya.

Kata beliau, sebanyak lima kesatuan gabungan telah pun menulis kepada setiausaha agung MTUC, sejak awal minggu ini, meminta dipanggil satu mesyuarat khas majlis am, tetapi nampaknya tiada respons setakat ini.

“Oleh kerana Kesatuan Pekerja-pekerja KTM Berhad sudah membuat keputusan mahu membawa usul undi tidak percaya, kami kena kaji pendirian MTUC Selangor-Wilayah Persekutuan,” katanya.

Jelas beliau, jika kesatuan berkenaan boleh membuktikan kepimpinan tertinggi MTUC telah gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik, perkara itu boleh dibawa dan dibincangkan.

Razak dalam kenyataannya menambah, tindakan membisu dan melepaskan tengkuk adalah satu sikap yang paling hipokrit.

“Memegang jawatan tanpa melaksanakan tugas adalah dikesalkan, tindakan yang mereka lakukan adalah satu tindakan kepada penganiayaan kepada seluruh warga pekerja di negara ini,” katanya lagi.

Menurut Razak, di seluruh dunia penggajian pekerja kontrak adalah isu utama dan ia telah dimainkan semula.

“RUM (Kesatuan Pekerja-pekerja KTM) berbangga pada satu ketika Donald Uren, Presiden RUM menentang gaji hari untuk mendapatkan gaji bulan. Hari ini sejarah telah berulang lagi, dengan topik yang seakan sama, pekerja kontrak kepada pekerja tetap,” katanya.

“Adakah kita sebagai pekerja, pemimpin kesatuan sekerja harus membisu, membiarkan ia berlaku, adakah kita terus mendiamkan diri, adakah kita tidak fikir akan masa depan anak cucu kita, adakah anak kita belajar tinggi sampai ke langit tidak diletakkan sebagai pekerja kontrak.

“Inilah satu trend alaf baru yang telah cuba dan akan dilaksanakan malah terbukti bahawa yang berjawatan sebagai ketua setiausaha kementerian juga akan dikontrakkan,” kata beliau.

Razak menambah, sebagai pemimpin kesatuan sekerja yang memimpin Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB, sudah tentu “saya merasakan sangat terkilan benda ini berlaku, sudah tentu rasa tanggungjawab kepada golongan pekerja yang menjadi tunggak kepada perjuangan merasa marah dengan pindaan ini.”

Jika pemimpin hanya mendiamkan diri, katanya, maka yang menjadi mangsa ialah kaum pekerja.

“RUM tiada pilihan lain akan terus menentang Pindaan ini. Jangan salahkan RUM kerana menentang, RUM bukannya seperti lembu dicucuk hidung, RUM ada pendiriannya sendiri. Tanya kepada mereka yang bertanggungjawab mencetuskan idea sehingga mewujudkan pindaan ini, tanya kepada mereka yang bijak pandai dalam mewujudkan idea ini. RUM tetap akan menentang sebarang perkara yang secara jelas mengusik faedah pekerja,” katanya sambil menegaskan, kepimpinan MTUC perlu memikul tanggungjawab.

Semalam, kesatuan gabungan  menggesa kerajaan mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat motif Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011, yang mendapat bantahan keras badan induk pekerja itu.

MTUC bahagian Selangor-Wilayah Persekutuan menegaskan, selain diadakan satu suruhanjaya diraja, kepimpinan kongres itu juga perlu mengadakan piket nasional kedua bagi terus mengenakan tekanan ke atas kerajaan berhubung Rang Undang-undang Kerja.

Rang undang-undang itu telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu – tiga hari selepas MTUC mengadakan piket di pekarangan bangunan Parlimen.

MTUC mengadakan piket kebangsaan pada 3 November dan perhimpunan peringkat Selangor-Wilayah Persekutuan, 2 Disember lalu.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.