Ketua bahagian: ‘Macam mana nak menang PRU kalau sendiri tak tegas’
December 02, 2011
KUALA LUMPUR, 2 Dis — Umno perlu menubuhkan Jawatankuasa Disiplin Pilihan Raya Umum, khusus untuk mengambil tindakan ke atas anggota parti yang belot semasa pilihan raya.
Wakil Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata ini adalah penting memandangkan kemenangan dalam pilihan raya adalah penting bagi menentukan untung nasib parti dan negara.
Umno sendiri telah mewujudkan jawatankuasa disiplin semasa pemilihan parti dan mengambil tindakan ke atas mereka yang didapati menyalahi peraturan, dan tindakan yang sama perlu diambil untuk anggota parti yang bertindak menentang parti semasa pilihan raya umum, katanya semasa membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini Jumaat.
“Macam mana nak menang pilihan raya kalau kita sendiri tidak tegas dalam parti sendiri,” kata Ketua Umno Bukit Mertajam itu yang turut mendakwa tiada tindakan diambil terhadap mereka yang didapati pembelot parti semasa pilihan raya lepas walaupun mempunyai bukti.
Mengenai calon boleh menang, Musa berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mendengar rintihan rakyat mengenai calon yang mereka kehendaki.
“Kalau bahagian Umno itu tidak ada calon boleh menang, kita setuju calon dari luar dibawa masuk, (biarlah) calon yang reti bagi salam bila masuk rumah,” katanya.
Beliau mendakwa lazimnya calon luar akan mendabik dada dan jalan mengepak masuk ke bahagian kerana bangga menjadi calon pilihan Perdana Menteri, dan mereka tidak berjumpa dengan ketua bahagian dan ketua-ketua sayap Pemuda, Wanita dan Puteri tetapi sebaliknya membawa masuk wakil-wakil sayap dari bahagiannya.
Calon luar ini juga perlu diberi kursus di Institut Latihan Memperkasa Umno di Janda Baik bagi memberikan latihan dan cara berkempen dan bertanding di kampung-kampung, katanya.
Beliau juga mencadangkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan penting bagi membantu masyarakat Melayu terutamanya dalam isu perumahan di Pulau Pinang yang terabai di bawah pemerintahan kerajaan negeri pakatan pembangkang.
Dipetik laporan Bernama Online, wakil Selangor Datuk Johan Abdul Aziz pula berkata Umno Selangor sudah bermuhasabah diri dan sudah nampak jalan ke arah merampas semula negeri itu daripada pakatan pembangkang.
Johan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kerusi Semenyih berkata: “Kami di Selangor amat merasakan pedih akibat kekalahan dalam pilihan raya lepas, dan kami amat cemburu dengan negeri-negeri yang menang.”
“Kita tidak boleh lagi tewas di Selangor,” katanya dan menurutnya melalui maklum balas diterima daripada akar umbi, rakyat negeri itu amat menyenangi segala bantuan secara terus dan pantas yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan.
“Saya ingin mencadangkan, jika benar mahu menyelamatkan negeri-negeri dari hancur dan musnah angkara puak rakus yang ditunjangi oleh DAP ini, kerajaan perlu dan wajib bukan hanya meneruskan segala program yang telah diwujudkan, tetapi melipatgandakan peruntukan supaya lebih ramai rakyat akan merasai sentuhan keprihatinan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Sementara itu, wakil Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pula dalam perbahasannya berkata kesemua program transformasi kerajaan dapat dihayati keikhlasannya oleh rakyat, maka hasrat Umno untuk kembali menjadi “parti pilihan” akan menjadi kenyataan.
0 orang berkata:
Post a Comment