‘Pekida, bantu pertahan k’jaan BN’
Tuesday, 06 December 2011 Super Admin
Perdana Menteri mahu Pekida bantu kerajaan kekal memerintah Putrajaya selepas PRU 13.
(Free Malaysia Today) - Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) diseru membantu mengekalkan kelangsungan kerajaan sedia ada bersesuaian dengan piagam pertubuhan itu yang mendokong kerajaan yang memerintah.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemerintahan kerajaan (Barisan Nasional) dewasa ini adalah selari dengan matlamat dan tujuan Pekida ditubuhkan.
Justeru beliau mahu Pekida menjalankan tanggungjawab untuk mempertahankan kerajaan memandangkan tiada pemerintahan lain yang dapat menjamin masa depan negara.
“Tiada pilihan lain selain tegakkan pemerintahan sedia ada. Tanggungjawab yang digalas Pekida atas jemala adalah untuk mempertahankan pemerintahan sedia ada.
“Apa akan jadi pada umat Islam jika pemerintahan tersungkur dan rebah. Apa akan jadi pada Islam jika hilang taring?
“Asas dan pokok adalah berjuang untuk kelangsungan kuasa jika kuasa terlepas segala cita-cita terkubur dan masa depan akan bertukar jadi gerhana. Ini kerana asas untuk menjadi bangsa yang mulia dan bermaruah bergantung kepada pemerintahan sedia ada.
“Ia akan jadi realiti dan kenyataan jika ada kuasa,” katanya di hadapan 10,000 hadirin pada Majlis Perhimpunan Perdana Pekida Malaysia di Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Tegas Najib, pilihan alternatif yang ditawarkan oleh pembangkang belum tentu dapat menjamin kedudukan Melayu dan Bumiputera.
0 orang berkata:
Post a Comment