Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
 
SHAH ALAM – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan pihaknya tetap akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang pada perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu.

Menurutnya, tindakan ini tidak akan memilih bulu, sama ada mereka yang terlibat adalah perusuh, anggota polis atau orang awam.


“Seperti orang ramai, saya juga mahu melihat kebenaran, keadilan dan pembelaan ditegakkan untuk semua pihak, termasuk polis, media dan orang awam yang menyertai perhimpunan Bersih 3.0,” katanya.


Katanya lagi, satu panel penasihat bebas akan ditubuhkan awal minggu depan bagi memastikan semua suara dan tuduhan dalam kejadian rusuhan perhimpunan Bersih 3.0 diteliti, disiasat dan dikaji sebaik mungkin.


“Penubuhan panel ini akan saya umumkan sebaik sahaja segala aspek penubuhan, termasuk lantikan anggota, disiapkan tidak lama lagi,” katanya.


Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong turut menegaskan bahawa rusuhan pada Sabtu lalu mungkin dapat dielakkan sekiranya pihak penganjur bersetuju memilih stadium sebagai tempat berhimpun.


“Walau bagaimanapun, apa yang berlaku telah berlaku dan saya tetap konsisten dengan pendirian saya untuk melihat ke hadapan bersandarkan ‘the rule of law (keluhuran undang-undang),” katanya.