04 September, 2013
Suhaimi Baba Dedah Ramuan Kegagalan Filem Tanda Putera
Pengarah filem Tanda Putera, Datin Paduka Shuhaimi Baba tidak terkejut
dengan sambutan dingin ke atas filem yang berlatar belakangkan sejarah
kerana tahu selera penonton tempatan lebih ke arah genre seram dan
komedi.
“Kenyataannya kami menjangkakan filem ini kurang mendapat sambutan dan
kutipannya pula tidak mungkin akan pecah panggung. Tetapi kami tetap
meneruskannya kerana ia wajar dilakukan,"katanya kepada The Malaysian
Insider hari ini.
Beliau berkata, kritikan yang tidak pernah surut sejak Tanda Putera
ditayangkan menjadi antara sebab pengarah tempatan mengelak untuk
membikin filem lebih serius dan berdasarkan kisah sebenar seperti Tanda
Putera yang menelan kos RM4.8 Juta.
"Kami akan menentang arus ini. Ia bukan satu yang mustahil menghasilkan
filem sejarah tanpa menerima geran dari kerajaan," katanya yang pernah
membikin filem Pontianak Harum Sundal Malam dan Layar Lara.
Tanda Putera tidak mendapat kutipan pecah panggung pada minggu pertama
dan tayangannya kini ditukarkan ke pawagam kecil dengan tempat duduk
terhad.
Filem yang mengandungi adegan percetusan kaum 13 Mei yang didakwa
meragukan memulakan tayangannya di seluruh negara pada 29 Ogos lalu dan
hanya hanya mampu mengutip RM500,000 sepanjang tempoh penayangan filem
itu.
Shuhaimi berkata, beliau sedar filem berkisarkan sejarah tidak akan
berjaya di panggung negara ini dan filem sejarahnya sebelum ini, Hati
Malaya 1957 juga turut menerima nasib sama apabila hanya berjaya
mengutip RM760,000 hasil jualan tiket berbanding kosnya mencecah RM3.6
juta ringgit.
Hati Malaya 1957 menekankan perjuangan Perdana Menteri Ketiga Dato Onn
Jaafar yang bergelut untuk menanamkan semangat kenegaraan menentang
Malayan Union pada 1956
Seperti Tanda Putera, Hati Malaya mendapat peruntukan dari kerajaan .
"Ia amat memalukan dan menyedihkan," kata Pengerusi Skim Wajib Tayang
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Mustapha Maarof
memberi reaksi terhadap sambutan filem itu.
Skim Wajib Tayang mewajibkan filem tempatan diberi hak tayangan di pawagam di Malaysia.
Mustapha memberitahu The Malaysian Insider, kutipan box office Tanda
Putera sangat menyedihkan jika dibandingkan dengan filem KL Zombie yang
mendapat kutipan RM3 juta bagi tempoh sama.
Shuhaimi pada awalnya berkata, kekurangan sambutan penonton pada pembukaan filem kerana ia ditayangkan pada waktu bekerja.
Walaupun menerima banyak kritikan yang negetif termasuk dari pihak media
dan pemimpin politik, Shuhaimi berkata, beliau tetap berbangga apabila
filem ini mendapat pulangan yang boleh tahan bagi filem sejarah.
Shuhaimi berkata, penayangan serentak antata Tanda Putera dan Kl Zombie memberi saingan yang besar kepada filemnya.
"Seorang pengarah memberitahu saya ia adalah membunuh, namun kita ambil
sebagai cabaran kerana ini realiti selera penonton tempatan. Kita
berjuang untuk penonton sebaik yang boleh," katanya.
Bagaimanapun, katanya, filem berkisarkan sejarah ini tidak akan ada tamat tempohnya dan mempunyai nilai yang tinggi.
"Sebagai contoh ia boleh digunakan oleh stesen televisyen. Saya berharap
penonton tempatan akan dapat mengubah selera mereka daripada terus
hanya menyukai genre seram dan komedi," katanya.
Tanda Putera mencetuskan kontroversi apabila ada adegan di dalamnya
dikatakan mengandungi unsur yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Ia mendapat kritikan hebat daripada DAP dan MCA kerana filem itu
dikatakan seolah-olah menyalahkan kaum Cina sebagai pencetus tragedi 13
Mei 1969. ~the malaysian insider



0 orang berkata:
Post a Comment