• Datuk Fauzi Shaari Datuk Fauzi Shaari
1 / 1
SHAH ALAM - Ketika isu kongsi gelap mahupun jenayah berat menjadi perhatian kebelakangan ini, pelbagai dakwaan muncul sehingga ada yang mengatakan penjenayah ini dilindungi oleh orang penting negara.
Bagaimanapun, dakwaan itu disanggah oleh bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari yang menegaskan, ahli politik mahupun polis sendiri tidak pernah terbabit dalam perkara itu, apatah lagi ketika beliau mengetuai jabatan itu.

"Jika dahulu, kegiatan kongsi gelap ini tidak pula dikaitkan dengan mana-mana orang politik. Tidak macam sekarang.

"Namun, kongsi gelap ini bukan ancaman baru kepada negara," katanya kepada sebuah portal.

Fauzi turut menyokong langkah kerajaan untuk membanteras kegiatan jenayah itu yang menimbulkan kebimbangan awam, walaupun ia bukan perkara yang baru.

Berkongsi pengalamannya sebelum ini, Fauzi berkata, kumpulan kongsi gelap sebelum ini menjalankan kegiatan mereka secara bersembunyi, dan tidak secara terang-terangan seperti hari ini.

Kebiasaannya, mana-mana jenayah membabitkan kongsi gelap ini akan dibina kes untuk didakwa, yang biasanya dikaitkan dengan Kanun Keseksaan, selain dikenakan di bawah undang-undang pencegahan.

"Ketika ini, biarpun undang-undang seperti ISA, Akta Darurat (EO) dan Akta Kediaman Terhad dimansuhkan, operasi membanteras kegiatan kongsi gelap ini masih boleh dilakukan dengan undang-undang yang ada," tegas beliau.

Sebelum ini, terdapat sesetengah pihak mendakwa pemansuhan akta-akta pencegahan seperti ISA, EO dan Akta Kediaman Terhad menyebabkan kegiatan kongsi gelap semakin berleluasa kebelakangan ini.

Polis kini sedang giat menjalankan Ops Cantas di seluruh negara bagi menangkap mereka yang terlibat dalam kumpulan kongsi gelap.

Semalam, pihak berkuasa itu berjaya mengesan kumpulan kongsi gelap berselindung di sebalik majlis rasmi masyarakat dengan menaja majlis terbabit bagi mengaburi mata masyarakat mengenai kegiatan haram mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, polis menyedari trend ini dan kongsi gelap menyasarkan majlis masyarakat, terutama yang dihadiri orang kenamaan.

"Mereka akan menaja majlis tersebut untuk menunjukkan penglibatan mereka dengan masyarakat.

"Tujuan mereka tidak lain ialah untuk menunjukkan mereka pun ada membuat kebaikan.

"Mereka akan mengambil gambar bersama orang kenamaan dan masyarakat sebagai bukti menunjukkan mereka menjalankan kegiatan yang sah," katanya.