18 September, 2013
MCA Desak Kerajaan Benar Abu Mayat Chin Peng Dibawa Pulang
Putrajaya perlu membenarkan abu mayat Setiausaha Agung Parti Komunis
Malaya Chin Peng di bawa masuk ke Malaysia demi menghormati Perjanjian
Hatyai, kata MCA.
Naib Presiden parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, Gan Ping Siew
menegaskan, masyarakat antarabangsa akan memandang serong terhadap
Malaysia sekiranya terus melarang abu mayat Chin Peng di bawa masuk ke
negara.
"Kubur Karl Marx sekali pun ditempatkan di tengah ibu kota London
walaupun empayar British menderita akibat ideologi Komunis yang
dibawanya," kata Gan merujuk kepada pengasas ideologi komunis itu.
Tindakan diambil Putrajaya itu menurut Gan hanya akan menambah derita
negara ketika pendudukan komunis di negara ini dan rakyat akan terus
terseksa dengan bisa peperangan terdahulu.
"Perjanjian Damai Hatyai memperuntukan jaminan kerajaan terhadap mereka
yang meletakkan senjata...ia seharusnya turut terpakai terhadap mendiang
Chin Peng," kata Gan lagi dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, meskipun Jepun pernah menjajah Malaysia suatu ketika
dahulu, negara ini tetap mengadakan hubungan diplomatik dengan negara
itu dan mengapa tidak dengan Chin Peng.
Semua agama tegas Gan menuntut penganutnya mengamalkan budaya
memaafkan.Putrajaya sebelum ini menolak gesaan agar abu mayat pemimpin
Komunis itu di bawa ke negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak akan
mempertimbang sebarang permintaan daripada anggota keluarga Chin Peng
supaya mayat bekas pemimpin PKM itu dibawa pulang ke negara ini untuk
urusan pengebumian.
Najib menegaskan bekas ketua pemimpin komunis yang meninggal dunia di
Bangkok itu akan terus diingati sebagai pemimpin pengganas yang terlibat
melakukan pelbagai kekejaman terhadap rakyat dan serangan ke atas
pasukan keselamatan.
Chin Peng dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok
kira-kira jam 6.20 pagi kerana sakit tua.Dia dilahirkan pada 21 Oktober
1924 di Sitiawan, Perak. ~the malaysian insider



0 orang berkata:
Post a Comment