09 September, 2013
Masyarakat Sudah Muak Dengan Umno - Ahli Parlimen BN
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini mengumumkan akan
bertanding merebut jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan
Umno yang akan datang dan berkata, masyarakat sudah muak dengan apa yang
berlaku dalam Umno.
Katanya, hasratnya kali ini untuk bertanding adalah bagi meneruskan perjuangan Umno dan usaha untuk meremajakan parti.
"Masyarakat dah muak dengan apa yang berlaku dalam Umno. Dahulu sebelum
pilihan raya umum berjanji untuk melakukan perubahan, tetapi sehingga
kini masih belum ada yang berubah.
"Jadi orang mula melihat tiada perubahan dalam Umno dan mereka mahu
mengubah kerajaan. Apa yang diinginkan adalah perubahan dan muka baru
yang memimpin parti.
"Pencalonan saya kali ini bertujuan mengejutkan ahli Umno dan kemasukan
muka baru dapat membantu parti melakukan perubahan dengan lebih cepat,"
katanya ketika ditemui pemberita sewaktu mengadakan lawatan ke Jabatan
Audit Negara di Putrajaya hari ini.
Pada majlis itu beliau turut berseloroh untuk bertanding jawatan
Timbalan Presiden Umno melihatkan keadaan parti yang masih mengekalkan
muka lama.
"Saya pernah berhasrat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno
kerana risau kurangnya pemimpin yang berkaliber dalam parti.
"Namun syarat baru yang ditetapkan seperti untuk bertanding jawatan
tertinggi perlu menjadi ahli MT untuk tiga penggal menjadikan saya
mengubah fikiran," katanya.
Pada pemilihan Umno 2008, Nur Jazlan pernah melahirkan hasrat untuk
bertanding jawatan timbalan presiden Umno namun menarik diri pada saat
akhir ekoran kurang pencalonan dari Umno Bahagian Johor yang pada ketika
itu sebulat suara mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diangkat
sebagai calon.
Agensi berita nasional, Bernama melaporkan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk
Shamsul Anuar Nasarah menawarkan diri bertanding jawatan ahli MT Umno
pada pemilihan parti Oktober ini.
Naib Ketua Umno Bahagian Lenggong itu berkata, keputusan itu dibuat
setelah mendapat restu Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk
Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan pemimpin Umno negeri.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu
berkata, beliau bertanding bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya
hanya ingin berjuang demi agama, bangsa dan negara. ~the malaysian insider



0 orang berkata:
Post a Comment