10 November, 2013
Punca Utusan Sokong Mohd Amar Sebagai Timbalan Presiden PAS Tersebar
Menjelang pemilihan PAS 22 November akan datang, akhbar milik Umno
Utusan Malaysia menyatakan sokongan secara terbuka kepada Datuk Mohd
Amar Nik Abdullah (gambar) dalam perebutan jawatan timbalan presiden
parti Islam itu.
Dalam rencana yang ditulis oleh salah seorang pengarangnya, Zulkiflee
Bakar, beliau mengatakan kemenangan Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri
Besar Kelantan penting demi memastikan pengaruh ulama dikembalikan
semula dalam PAS.
"Mereka (PAS) mempunyai misi penting untuk dilunaskan iaitu pertama,
mengembalikan kekuatan ulama dalam hierarki kepimpinan utama PAS dan
kedua, mendesak supaya PAS tidak menjadi ‘lebai malang’ melalui
kerjasama dalam pakatan pembangkang.
"Bagi misi pertama, sudah pastilah tumpuan akan diberikan kepada
perebutan jawatan timbalan presiden yang kini disandang oleh Mohamad
Sabu atau Mat Sabu," kata beliau dalam tulisannya dalam edisi Ahad
Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia hari ini.
Zulkiflee turut menjangkakan penyandang Mohamad atau "Mat Sabu" walaupun
dianggap sebagai ayam sabung PAS bakal berdepan cabaran sengit terutama
selepas popularitinya semakin menurun akibat kekalahan dalam pilihan
raya umum ke-13 (PRU13) lalu.
"Kali ini, Mat Sabu dilihat memasuki gelanggang dalam keadaan ‘badan
penuh kecederaan’ dan paling ketara beliau sudah tewas dua kali dalam
pilihan raya umum.
"Ini belum lagi mengambil kira bagaimana populariti beliau dikatakan
semakin menurun," katanya.Selain itu, Zulkiflee juga menegaskan golongan
ulama dalam PAS sudah bersatu berbanding dalam pemilihan lalu.
"Kali ini seolah-olah sudah ada kesepakatan oleh golongan ulama untuk meletakkan seorang calon sahaja.
"Keadaan itu berbeza dengan pemilihan 2011, apabila dua calon ulama
bertanding iaitu penyandang Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS,
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Kesudahannya ia menyebabkan undi ulama berpecah dan Mat Sabu ‘ditabal’
menjadi Timbalan Presiden dengan majoriti 21 undi," katanya.
Di samping itu, Mohd Amar pada pandangan Zulkiflee adalah individu
paling layak untuk mengisi kekosongan jawatan penting itu kerana
pengalaman politiknya dalam membantu PAS mempertahankan Kelantan serta
mempunyai latar belakang agama sesuai dengan imej Islam parti tersebut.
"Biarpun tewas dalam pemilihan lalu bagi jawatan naib presiden namun
kejayaannya membantu PAS mempertahankan pemerintahan di Kelantan banyak
meningkatkan popularitinya.
"Apatah lagi, beliau dilihat pengganti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di
Kelantan dan sentiasa tegas apabila berhadapan dengan sesuatu isu
biarpun ia dicetuskan oleh sekutu PAS sendiri iaitu Parti Keadilan
Rakyat (PKR) dan DAP," katanya lagi.
Selepas tarikh penamaan calon ditutup 8 November baru-baru ini, jawatan
timbalan presiden PAS bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu
antara penyandangnya Mohamad dengan Mohd Amar.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden PAS apabila beliau
tidak dicabar yang menjadikan perebutan jawatan timbalan presiden hangat
selain naib presiden parti Islam itu. ~tmi
Addin:
Bila media musuh tiba-tiba menjadi penyokong PAS maka perlulah
berhati-hati, pasti ada muslihat.. Bila utusan sokong Mohd Amar sudah
tentu nak lihat PAS rebah..



0 orang berkata:
Post a Comment