• Hadi awang  
  • Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang
1 / 1
SHAH ALAM - Pas tetap akan melaksanakan hukum Hudud di Kelantan walaupun dibantah DAP, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau berkata rayuan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya Pas tidak meneruskan cadangan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan adalah hanya ideologinya sendiri.

"Itu hak dia (Karpal) bersuara. Hak kita meneruskan apa yang kita perjuangkan, itu tidak ada dalam perjanjian Pakatan Rakyat, masing-masing dengan ideologi masing-masing," katanya.  


Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Ucapan Penangguhan pada Muktamar PAS ke-59 di Stadium Malawati Shah Alam di sini, hari ini.


Abdul Hadi juga berkata kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat hanyalah melibatkan perkara yang dipersetujui bersama untuk dilaksanakan dan menegaskan bahawa pandangan berbeza antara mereka adalah hak masing-masing.


Media hari ini melaporkan Karpal sekali lagi berkata DAP tetap tegas menentang pelaksanaan hudud dan cadangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.


Mengulas mengenai barisan kepimpinan Pas Pusat baharu, Abdul Hadi berkata seramai sembilan orang daripadanya merupakan golongan Ulama dan selebihnya dari kalangan profesional dan aktivis


Sambil menyatakan rasa puas hati dengan pemilihan yang dijalankan, beliau berkata barisan kepimpinan itu masih mengimbangi peranan ulama dan profesional.


Mengenai keluhan anggota perwakilan Sabah dan Sarawak kerana tiada wakil dari dua negeri itu dipilih menganggotai barisan kepimpinan Pas Pusat, beliau berkata Pas akan melantik mereka untuk jawatan yang boleh memberi perhatian khusus terhadap negeri itu. - Bernama