• Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
1 / 1
IPOH - Umno menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bermuzakarah dalam melaksanakan pemerintahan Islam di negara ini.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang diperkatakan Abdul Hadi adalah satu langkah yang telah didendangkan sekian lama namun masih belum terlaksana.

“Secara peribadi ia (bermuzakarah) adalah langkah baik dan harus dilihat dengan roh atau semangat ikhlas yang dibuat beliau (Abdul Hadi) dan kepimpinan Pas.

“Perkara itu bukan satu tawaran hanya kepada Umno atau BN umumnya, tetapi juga kepada kumpulan ulama, cendekiawan Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam tanpa mengenepikan agama lain.

“Apabila kita mahu fokus dalam memperjuangkan Islam, kita harus tahu bahawa agama lain harus dihormati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam.

Berikutan itu, Ahmad Zahid berharap perundingan tersebut jangan ditangguhkan dan beliau meminta semua pihak harus terbuka untuk menerima baik cadangan yang dibuat Presiden Pas tersebut.

Pada ucapan penggulungan Muktamar Agung Pas ke-59 yang diadakan di Shah Alam, semalam, Abdul Hadi menyuarakan hasrat untuk muzakarah dengan Umno dalam isu pelaksanaan Islam berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Abdul Hadi berkata, jika Umno mahu melaksanakan Islam dengan bersungguh-sungguh mereka bersedia bermuzakarah bersama parti berkenaan.