• muktamar pas
1 / 1
SHAH ALAM - Muktamar Pas ke-59 yang berakhir hujung minggu lepas menyaksikan hampir kesemua saf kepimpinan parti mengekalkan status quo mereka.

Barisan kepimpinan yang baharu dipilih parti bagi penggal 2013-2015, menurut Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain secara keseluruhannya adalah seimbang di antara golongan profesional dan ulama.

Meskipun mengekalkan beberapa pimpinan lama, katanya golongan profesional yang dipilih akan membantu Pas untuk melebarkan jajahan dan pengaruhnya pada  masa hadapan.


Gandingan Mat Sabu dan Abdul Hadi
 
Berhimpun sejak Jumaat lepas sejak awal pagi hingga larut malam, akhirnya keputusan yang ditunggu-tunggu menyaksikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bergandingan semula dengan Mohammad Sabu sebagai timbalannya.

Persoalan yang timbul, adakah kemenangan tipis Mohammad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, suatu yang dirancang?

Meskipun Mat Sabu ditentang hebat oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, tetapi faktor populariti Timbalan Presiden itu mengatasi pencabarnya.

"Saya rasa Mohammad Sabu patut diberi peluang sepenggal lagi untuk menerajui parti. Ini bukan menidakkan kepimpinan Mohd Amar daripada kumpulan ulama, sebaliknya untuk menghargai jasa Mohammad Sabu terutama dalam membawa Pas hari ini," kata perwakilan Pas Selangor, yang mahu dikenali sebagai Azman.

Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Hu Pang Chau menyifatkan keputusan mengekalkan Mat Sabu bukanlah satu plot konspirasi sebaliknya bertujuan meneruskan dasar parti yang dibuat sebelum pilihan raya umum ke-13, Mei lepas.

Timbul juga persoalan apabila Datuk Mahfuz Omar gagal merebut jawatan nombor tiga parti dan tewas nipis 16 undi kepada Datuk Husam Musa yang menerima 520 undi. Adakah ia disebabkan wujudnya puak-puak di dalam parti?

Hu berkata kegagalan Mahfuz meraih tempat untuk jawatan nombor tiga parti meskipun memberi saingan sengit kepada Husam bukanlah kerana beliau dibenci perwakilan.

"Saya percaya, perwakilan mahu Mahfuz diberikan tugas lebih besar daripada naib presiden iaitu sebagai Pesuruhjaya Pas Kedah untuk memastikan negeri itu kembali semula diperintah Pas," katanya.    

Naib Presiden tiga elemen 
  
Turut digandingkan bersama Abdul Hadi ialah seorang naib presiden baharu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, selain dua penyandangnya Husam dan Salahuddin Ayub.

Tuan Ibrahim menyifatkan gandingan bersamanya mewakili tiga elemen iaitu profesional, aktivis dan ulama.

Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjung, Pulau Pinang Yaacob Omar, yang berpandangan serupa, berkata pemilihan kali ini menepati ramalan supaya wujud gabungan individu yang berlainan latar belakang.

"Inilah sebenarnya dimahukan anggota parti di mana kepimpinan kita ini mempunyai gabungan yang cantik sama ada di kalangan profesional, aktivis dan ulama.

"Contohnya macam Presiden, dia adalah di kalangan ulama dan timbalannya daripada kalangan profesional tetapi masih mempunyai latar belakang keagamaan," katanya.

 Hubungan dengan rakyat sekutu Pakatan

Bukan sahaja berkisar kepada pemilihan, Muktamar Pas kali ini turut melihat anggota perwakilan bangkit tegas menyuarakan pandangan mahu tindakan tegas dalam hubungan dengan rakan sekutu DAP dan PKR.

Mereka lantang menyuarakan dan berusaha mendapatkan pencerahan daripada pucuk pimpinan parti mengenai kedudukan Pas dalam gabungan pakatan.

Ada yang meminta Pas tidak lagi menjadi 'barua' DAP, bahkan ada juga perwakilan yang tidak sanggup lagi Pas menjadi alat tunggangan rakan sekutu, malah ada yang 'menjerkah' barisan kepimpinan supaya isu berkaitan Melayu turut dibincangkan dalam muktamar.

Semasa sesi penggulungan, Dewan Ulama Pas turut mengulangi saranan Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib supaya Majlis Syura dan Pas Pusat mengkaji semula tahaaluf siyaasi (kerjasama politik) yang ada dalam pakatan.

Naib Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dalam ucapan penggulungannya berkata kajian itu perlu diadakan bagi membuat penambahbaikan sama ada daripada segi politik atau dasar-dasar yang terkandung dalam kerjasama itu.

Nada berbeza
   
Namun, nada berbeza disuarakan Timbalan Presiden Mohamad Sabu apabila beliau dalam penggulungannya mengakui Pas memerlukan bantuan DAP dan PKR untuk melebarkan jajahannya dalam pilihan raya akan datang.

Dalam isu hudud yang diperjuangkan Pas, tetapi ditentang kuat sekutunya DAP, Presiden Pas menegaskan bahawa Pas tetap akan melaksanakan hukum hudud di Kelantan walaupun dibantah DAP.

Abdul Hadi dalam ucapan penangguhannya berkata rayuan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya Pas tidak meneruskan cadangan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan adalah hanya ideologinya sendiri dan tiada apa-apa perjanjian dalam pakatan.

Bagi mereaslisasikan pertadbiran Islam di negara ini, Presiden Pas juga menyatakan kesediaan Pas bermuzakarah dengan Umno mengenainya.

Jelas Abdul Hadi, kesediaan Pas bermuzakarah itu dizahirkan daripada kepakaran dan pemimpin mereka yang menguasai pelbagai bidang profesional seperti undang-undang, ekonomi dan penguatkuasaan.

Menyentuh idea muzakarah Pas bersama Umno itu, Ahmad Atory berkata, cadangan itu bukanlah kali pertama dibangkitkan Pas, bahkan kenyataan untuk bermuzakarah itu timbul semula mungkin selepas berasa 'terpukul' oleh perwakilan yang meminta supaya isu berkaitan Melayu turut dibincangkan secara mendalam dan komprehensif dalam muktamar parti.

"Secara tidak langsung Pas mengakui bahawa Umno berjaya membela nasib orang Melayu. Kalau Umno tidak berjaya, sudah tentu isu berkaitan orang Melayu dan bumiputera hangat dalam muktamar sepertimana isu seperti pendidikan dan ekonomi yang dibangkitkan sebelum ini," katanya. - Bernama