23 November, 2013
Anwar Di 'Pecat' Dari Ketua Umum PKR
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
PKR akan mengadakan satu kongres khas esok yang mungkin akan menentukan
sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) kekal sebagai Ketua Umum
tidak dipilih, atau mengambil alih jawatan presiden parti, satu isu yang
menimbulkan perpecahan di kalangan pemimpin utama, kata sumber dalaman
parti itu.
Mereka berkata, pada ketika ini jawatan Ketua Umum tidak berada dalam
perlembagaan dan PKR tidak akan memasukkannya dalam perlembagaan parti
itu untuk Anwar.
“Jika jawatan Ketua Umum diperlembagakan dalam parti, PKR akan
berhadapan dengan RoS yang ‘kejam’ dengan parti komponen Pakatan Rakyat
(PR),” kata seorang pemimpin PKR kepada The Malaysian Insider di Kuala
Lumpur merujuk kepada Pendaftar Pertubuhan.
“Ini akan memaksa Anwar untuk mengambil alih jawatan Presiden PKR
daripada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.
Peranan Anwar menjadi topik perdebatan di antara dua kumpulan dalam PKR,
dengan ramai berkata beliau perlu membuat keputusan untuk mengelakkan
pertembungan lebih besar dalam parti itu.
Sumber itu memberitahu, satu kumpulan mahu Anwar terus kekal sebagai
Ketua Umum dan jawatan itu dijadikan sebagai jawatan rasmi dalam pindaan
perlembagaan kali ini.
Ini akan menyebabkan Dr Wan Azizah terus kekal sebagai
presiden.Sementara kumpulan kedua mahu Anwar menjadi presiden parti itu
dan Dr Wan Azizah direhatkan selepas sekian lama memegang pucuk pimpinan
sejak Ketua Pembangkang itu dipenjarakan pada 1998.
Bagaimanapun, sesetengah pemimpin parti percaya, mengambil alih jawatan
presiden PKR akan menimbulkan kerumitan kepada Anwar dalam struktur
kepimpinan PR.
“Sesetengah pihak percaya, kedudukannya akan tergugat sebaik sahaja
mengambil alih jawatan presiden kerana pada ketika ini, kedudukannya di
atas semua pihak.
Jika beliau menjadi presiden PKR, kedudukan Anwar akan menjadi sama
taraf dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha
Agung DAP, Lim Guan Eng,” kata sumber itu lagi.
Sementara kumpulan kedua percaya Anwar sebagai presiden PKR tidak akan
menimbulkan masalah kerana PAS dan DAP sudah menerima Anwar sebagai
calon Perdana Menteri jika PR berjaya menawan Putrajaya.
Seorang wakil rakyat PKR memberitahu, kebanyakan ahli parti mahu melihat
Anwar menjadi presiden supaya parti itu lebih mantap dan kukuh kerana
jawatan Ketua Umum tidak jelas dan terikut-ikut dengan struktur parti
politik di Indonesia.
“Jawatan Ketua Umum dulu diwujudkan kerana selepas dibebaskan daripada
penjara, Anwar mempunyai halangan undang-undang daripada memegang
jawatan politik, kini halangan sudah tiada.
“Jadi tiada sebab lagi untuk Anwar tidak memimpin PKR sekarang,” kata
wakil rakyat PKR itu dan menambah Dr Wan Azizah pernah memberikan laluan
kepada Anwar untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada
2008.
Kongres khas PKR yang akan diadakan di Selangor esok antara lainnya akan
melakukan perubahan yang akan memudahkan ahli untuk bertanding jawatan
dalam parti itu.
“Selepas kongres khas ini, seseorang yang ingin bertanding jawatan
tertinggi PKR tidak lagi memerlukan pencalonan daripada cabang.
“Cukup dengan seorang penyokong dan pencadang, mereka sudah boleh
menjadi calon,” kata Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang yang lebih
terkenal dengan nama Tian Chua.
PKR menang 30 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu, kurang
satu kerusi berbanding pencapaian mereka pada 2008.Sementara DAP
mempunyai 38 kerusi dan PAS mendapat 21 kerusi di Dewan Rakyat. ~tmi



0 orang berkata:
Post a Comment