24/03/14
Spekulasi bantu siasatan MH370, kata polis
Polis
menyifatkan spekulasi yang menular di Internet boleh membantu siasatan
dalam misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac.
"Kami memantau semua spekulasi ini
kerana kita merasakan sedikit sebanyak ia membantu dalam siasatan," kata
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Dalam satu wawancara dengan Mingguan
Malaysia hari ini, beliau ditanya berhubung tindakan polis yang bakal
diambil kepada penyebar spekulasi di media sosial.
"Namun jika sekadar spekulasi, pihak
kami melihat belum cukup untuk kami mengambil tindakan melainkan mereka
membuat fitnah," tambahnya.
Bagaimanapun, Khalid menasihatkan semua pihak agar bijak membezakan antara fakta dan spekulasi.
"Apa yang diberikan melalui pengumuman pihak kerajaan itu adalah fakta sebenar dan bukan spekulasi," katanya.
"Jadi apa juga yang ditulis oleh orang
ramai dalam media sosial adalah berbentuk spekulasi kerana tidak
disokong oleh fakta, maka ia tetap kekal spekulasi."
Diminta mengulas laporan media
antarabangsa yang didakwa negatif dan bersikap double standard, Khalid
berkata terdapat media luar sengaja memperkecil-kecilkan negara ini.
"Kita kena faham bahawa ada pihak asing
yang dengki dengan (negara) kita. Mereka ini sengaja mahu memperlekehkan
kita. Malangnya ada kalangan masyarakat kita begitu cepat percaya
dengan berita asing," katanya.
"Walhal akhbar kita yang patut lebih tahu kerana kita memberikan berita sebenar tetapi mereka (rakyat) tidak mahu dengar."
Ketua polis negara juga mendakwa ada
cubaan media asing untuk melaga-lagakan negara ini dengan pihak-pihak
tertentu, termasuk China.
Pada hari kejadian itu, seramai 153
penumpang China, daripada 239 orang termasuk 12 anak kapal, berada dalam
pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing.


0 orang berkata:
Post a Comment