• Abdul Khalid Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM -  Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri Selangor dengan kerajaan Persekutuan termeterai 26 Februari lalu, ekoran keengganan Selangor menaikkan tarif air sebanyak 30 peratus lagi.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu tindakan itu diambil kerana tidak mahu terus membebankan rakyat negeri itu.

“Saya masuk saja jadi Menteri Besar, saya kena naikkan tarif air 30 peratus. Dua tahun lagi saya jadi menteri besar, saya (perlu) naikkan lagi 30 peratus. Sudah 60 peratus.

“Sebab itu, saya minta dengan kerajaan Persekutuan... saya tak nak bayar harga ini, lebih baik kita susun semula supaya harga yang ada sekarang boleh kita pertahankan untuk rakyat Selangor,” katanya yang dipetik dalam program Soal Jowab, malam semalam.

Meskipun kenaikan tarif air tidak dapat dielakkan namun berdasarkan penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor itu, Abdul Khalid berkata kenaikan yang berlaku selang tiga tahun adalah sangat munasabah iaitu tidak melebihi 12 peratus.

“Saya rasa rakyat Selangor memang meminta supaya saya lakukan ini sebab jika tidak, daripada RM1, mereka perlu bayar RM1.70 iaitu kenaikan 70 peratus akan berlaku. Tapi sebab kita sambung semua (pengurusan industri air) ini, maknanya bukan tak ada kenaikan peratus tarif air tapi tidak meningkat tinggi.

“Kita sudah menunjukkan dalam kiraan awal kita, tiap-tiap tiga tahun, (kenaikan) tidak lebih daripada 12 peratus. Itu sangat munasabah berbanding dalam negeri dan dunia,” katanya.

Walau dikritik pimpinan parti sendiri atas tindakannya menandatangani MoU itu, Abdul Khalid bertegas tindakan itu diambil demi rakyat Selangor.

“Dalam keadaan ini, kita mesti memikirkan bagaimana perancangan kita supaya air ada, penggunaan air itu mesti dengan kos yang terbaik dan tarif yang nak dikenakan tak boleh tinggi kerana rakyat akan merana,” katanya.

Kandungan MoU itu diragui  pimpinan PR kerana didakwa berat sebelah dan membebankan kerajaan negeri Selangor