Teresa perlu sedia hadapi kemungkinan
GEORGETOWN - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok perlu bersedia dengan
apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku berikutan tindakannya yang
mengundang kemarahan rakyat.
Ketua Pembangkang Dun, Datuk Jahara Hamid berkata, Teresa perlu berani
menghadapi cabaran daripada orang ramai kerana sudah beberapa kali
mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan mereka.
"Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Beliau dah
keluarkan kenyataan kontroversi, maka sekarang kena terimalah apa saja
kemungkinan. Jangan tahu cakap saja, bila dimarahi rakyat, nak tuduh
pihak lain pula.
"Kenyataan yang dibuat telah mengganggu emosi rakyat, jadi apa yang
beliau jangkakan? Adakah beliau jangka orang akan gembira atau berdiam
diri (dengan kenyataan itu)? Bila emosi terganggu, sudah pasti rakyat
akan bertindak," katanya kepada media pada majlis Pelancaran Pelan
Strategik Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang 2014-2016 hari ini.
Malam kelmarin, ceramah PR di Taman Cermai, Permatang Pauh yang
dihadiri Teresa Kok bertukar kecoh apabila beliau 'dihadiahkan' sebiji
telur ayam oleh seorang lelaki tidak dikenali.
Ketika kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Teresa baru selesai
berceramah dan duduk bersebelahan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri
Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim
yang turut hadir di bawah khemah di tepi pentas.
Beliau kemudian dihampiri seorang lelaki yang mahu bersalam dengannya
dan ketika menghulurkan tangan, telur ayam yang berada dalam gengaman
lelaki berkenaan pecah dan mengenai tangan Teresa yang juga Pengerusi
DAP Selangor.
Keadaan menjadi kecoh apabila orang ramai beranggapan Teresa ditampar
dan penyokong pakatan pembangkang bertindak mengepung lelaki berkenaan
dan memukulnya.
Teresa yang kelihatan terkejut dengan kejadian itu kemudian diiringi ke
tandas berhampiran dengan kawalan ketat untuk mencuci tangan dan segera
meninggalkan tempat berkenaan dengan sebuah kereta.
Terdahulu, ketika berceramah, Teresa turut menayangkan semula video
ONEderfull Malaysia CNY 2014' yang mencetuskan kontroversi dan meminta
kira- kira 200 orang yang hadir membuat penilaian terhadapnya.
Menurutnya, video berkenaan hanya menampilkan isu semasa yang berlaku
dalam negara dan disampaikan secara komedi dan tidak menghina mana- mana
pihak.


0 orang berkata:
Post a Comment