• Hadi Awang Hadi Awang
1 / 1
SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas Wilayah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Presiden Pas mempunyai kuasa pemutus dalam membuat keputusan segera atau dalam apa-apa isu yang melibatkan kepentingan parti.

Ketuanya, Azhar Yahya berkata, ianya selari dengan perlembagaan parti mengikut manifestasi Perlembagaan Pas Fasal 26 (1) (a).

“Maka dengan ini, dipertegaskan bahawa Dewan Ulama Pas  Wilayah Persekutuan menyokong teguh pendirian tersebut.

“Seluruh ahli Pas diharapkan mempunyai kefahaman yang jelas tentang adab berjemaah yang telah diajarkan kepada kita oleh para pimpinan terdahulu dan para ulama haraki.

“Justeru, Dewan Ulama Pas Wilayah Persekutuan dengan ini bertegas bahawa segala keputusan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Presiden adalah sah di sisi perlembagaan parti.

Bahkan dengan kemampuan ijtihad siyasi yang dimiliki Presiden memberikan keyakinan kepada ahli dan masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan medianya hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, sebagai parti yang mempunyai pemimpin tertinggi, mereka perlu patuh kepada pemimpin, selagi pemimpin tersebut tidak melanggar syariat.

“Sebagai ahli Pas, adalah satu tanggungjawab untuk kita setia dan taat kepada pimpinan tertinggi dalam memenuhi prinsip dan adab berorganisasi. Selagi tidak melanggar syariat, meskipun terdapat khilaf, pandangan pemutus adalah juga ditangan kepimpinan,” katanya.

Terdahulu, ada ‘suara-suara’ di dalam Pas yang mengatakan bahawa pandangan Presiden dalam hal-hal tertentu adalah bersifat peribadi dan bukannya mewakili parti.