• LHDN
1 / 1
PETALING JAYA - Kementerian Kewangan digesa mengemukakan salinan terbaharu rang undang-undang pindaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada PKR sebelum Dewan Rakyat bersidang minggu depan.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen menegaskan, pindaan itu perlu dikemukakan esok atau lusa bagi memastikan undang-undang itu tidak memberi kuasa tanpa batasan kepada menterinya untuk melabur di tempat yang tidak sepatutnya serta meningkatkan had dana sewenang-wenangnya.

"Rang Undang-undang pindaan yang dibentangkan pada Jun lepas, pada dasarnya memberikan kuasa yang tidak terhad kepada Menteri Kewangan.

"Perkara ini akan membangkitkan kebimbangan apabila beliau dibenarkan untuk mencelup ke dalam wang cukai sebanyak RM140 bilion setahun berbanding kurang RM250 juta dana Lembaga LHDN sedia ada," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rang Undang-Undang LHDN ditangguhkan]
Pada Jun lalu, Menteri Kewangan telah membentangkan rang undang-undang pindaan kepada Akta LHDN 1995, yang mengandungi cadangan untuk mewujudkan sebuah Panel Pelaburan dalam LHDN.

Panel tersebut mempunyai kuasa untuk menggunakan wang secara tidak terhad untuk membeli ekuiti-ekuiti, hutang dan hartanah.

Mengulas lanjut, Wong Chen menambah, sejak rang undang-undang pindaan itu ditarik balik, pihaknya masih belum menerima sebarang salinan terbaharu mengenainya.


"Ini merupakan satu tindakan daripada kerajaan yang tidak padan dengan amalan pentadbiran demokrasi berparlimen, memandangkan kepentingan pindaan itu.

"Saya telah menulis satu surat kepada menteri terbabit pada tiga minggu lalu namun kementerian mengambil masa sehingga 14 hari untuk membalas surat saya.

"Malangnya menteri kewangan telah menolak tanggungjawab itu kepada kementerian lain," ujarnya.

Sehubungan itu, jelasnya PKR menyeru semua ahli Parlimen sama BN atau PR supaya berwaspada dengan pindaan itu dan salinan itu perlu dikemukakan segera bagi membolehkan orang ramai membuat penyelidikan, pertimbangan dan perbahasan sebelum ia dibawa ke Parlimen nanti.

Pada masa ini, Panel Pelaburan dianggotai seramai tujuh orang, seorang daripadanya berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang dilantik oleh Menteri Kewangan.