• liwat anwar
1 / 1
PUTRAJAYA - Perbicaraan rayuan kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masuk hari keempat hari ini ditangguhkan ke minggu depan dan ia dijangka bersambung semula pada Isnin dan Selasa.

Bagaimanapun Ketua Pendakwaraya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, perbicaraan kes itu pada Isnin depan akan berlangsung separuh hari manakala Selasa pula beliau menjangkakan perbicaraan penuh dapat dilakukan.

Saya rasa Isnin ada peluang tidak habis (pendakwaan) ada kemungkinan itu, jadi kita akan bersambung pada Selasa.

"Selasa kami yakin perbicaraan akan bersambung dan saya ambil bahagian kecil di awal pagi Selasa dan mereka akan hantar (submit).

Petang ini tiada (perbicaraan penuh) sebab hari Jumaat dia selalu tak buat, jadi Isnin depan setengah hari sampai pukul 1 petang, saya fikir Selasa adalah sepanjang hari," katanya kepada pemberita di luar kamar Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Hari keempat pendengaran rayuan akhir Liwat II, Ketua Umum PKR itu bermula jam 9 pagi hari ini dengan pihak pendakwaan yang diketuai Muhammad Shafee memulakan hujahan balas.

Muhammad Shafee juga telah membuat hujahan balas pada sebelah pagi berhubung dakwaan pihak pembelaan bahawa tuduhan liwat terhadap Anwar adalah satu konspirasi.