• Anwar (kiri) bersama peguam belanya, N Surendran tiba di mahkamah untuk perbicaraan pada hari ketiga, semalam. Anwar (kiri) bersama peguam belanya, N Surendran tiba di mahkamah untuk perbicaraan pada hari ketiga, semalam.
1 / 1
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan diberitahu tiada sebarang koyakkan atau luka pada dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan, 29, yang didakwa diliwat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam bela, Ram Karpal Singh dalam hujahannya semalam berkata, semasa keterangan Mohd Saiful mendakwa dia  diliwat lima minit namun memberitahu pegawai penyiasat serta doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) insiden itu berlaku selama 30 minit.

“Bagaimana tiada sebarang luka pada rektumnya sedangkan dia mendakwa telah diliwat secara rakus dan laju pada masa itu?” soalnya.

Menurutnya keterangan Mohd Saiful telah menimbulkan keraguan jelas.

Beliau berkata, Pegawai Perubatan Hospital Pusrawi Dr Mohd Osman Abdul Hamid dalam laporannya juga mendapati dubur Mohd Saiful berada dalam keadaan normal.

“Bagaimana air mani ditemui di dalam rektum padahal tiada bukti penembusan?” soalnya.

Ram berkata, hakim mahkamah tinggi dan Mahkamah Rayuan terkhilaf dengan menjangkakan sampel ditemui adalah betul.

“Ia boleh berlaku sekiranya sampel berbeza digunakan,” katanya.

Menurutnya, seluar dalam yang dipakai oleh Mohd Saiful pada hari insiden tidak mempunyai kesan air mani.

“Seluar dalam yang digunakan dalam insiden itu dibasuh namun kesan air mani ditemui pada seluar dalam yang tidak digunakan pada hari itu,” katanya.

Selain itu Ram turut mendakwa sel sperma tidak dipisahkan dengan betul oleh Jabatan Kimia Negara.

“Oleh demikian bukti asid deoksiribonukleik (DNA) dan bukti saintifik tidak boleh dipercayai,” katanya.

Pendengaran hujahan pembelaan bagi rayuan terakhir Anwar, 67, memakan masa selama tiga hari bermula 28 Oktober lalu tamat dan akan disambung oleh pendakwaan.

Sementara itu, Ketua Pendakwa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon agar diberikan masa untuk menyediakan hujahan balas bagi setiap isu yang dibangkitkan oleh peguam bela.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengetuai lima panel hakim membenarkan permohonan Muhammad Shafee dan menangguhkan prosiding pada tengah hari semalam.

Prosiding seterusnya bersambung pada hari ini.