• Ahmad Jazlan Datuk Yaakub Ahmad Jazlan Datuk Yaakub
1 / 1
SHAH ALAM - Tiada bantahan terhadap tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob yang mengumumkan akan melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu tahun depan, menurut Ahli Parlimen Machang dari Umno, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Menurutnya, beliau sangat mengalu-alukan hasrat Ahmad untuk membawa rang undang-undang persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat nanti.

"Enakmen Jenayah Syariah II sudah pun diluluskan sebulat suara di peringkat Dewan Negeri Kelantan. Maksudnya ia dipersetujui oleh Pas termasuk wakil rakyat BN di sini (Kelantan)," katanya, semalam.

Ahmad Jazlan berkata, untuk pelaksanaan hudud yang berlandaskan al-Quran dan hadis, beliau sangat bersetuju dan menyokong tindakan Ahmad.

"Tiada bangkangan untuk menolak pelaksanaan hukum ALLAH SWT (hudud)," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, Kerajaan Kelantan perlu membentangkan draf cadangan undang-undang hudud kepada rakyat, sebelum membawanya ke Dewan Rakyat untuk dilaksanakan di Kelantan.

Beliau berkata, ia sangat penting kerana rakyat perlu tahu apa isi kandungan draf undang-undang tersebut.

"Jadi di peringkat kerajaan negeri, perlu didedahkan secara umum apa isi kandungan hudud serta apa inti pati hukuman yang hendak dibuat supaya semua pihak faham dan jelas.

"Jika ia dibentangkan terlebih dahulu, maka ia juga adil kepada semua ahli Parlimen BN sebelum mereka dapat menyatakan pendirian di Parlimen berhubung cadangan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, oleh itu buat masa ini, beliau tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada akan menyokong atau tidak berkaitan tindakan Ahmad dalam isu tersebut.

"Apa-apa pun kita kena tahu dahulu apa draf undang-undang hudud dan baru boleh komen," katanya.