• Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berjumpa penyokongnya selepas keluar dari Mahkamah Putrajaya bagi perbicaraan Kes Liwat 2 pada hari ke-2. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berjumpa penyokongnya selepas keluar dari Mahkamah Putrajaya bagi perbicaraan Kes Liwat 2 pada hari ke-2. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
1 / 1
PUTRAJAYA - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati penyokongnya supaya tidak mencetuskan sebarang kekecohan semasa berhimpun menuntut keadilan terhadapnya.

Beliau ketika berucap di hadapan para penyokong berkata, kumpulan penyokong himpunan harus melantik seorang ketua untuk mengawal dan mengurus segala kesulitan mengelakkan timbulnya pelbagai masalah yang tidak diingini.

"Nak bersorak, boleh.. Bersorak la sekuat mana pun.

"Tapi jangan cetuskan insiden dan provokasi. Mungkin ada kumpulan penyokong yang cetuskan provokasi, jangan sertai mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika muncul menemui penyokongnya di pekarangan Istana Kehakiman selepas berakhirnya kes perbicaraan rayuan akhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau menemui penyokongnya pada jam 6 petang dan memberi ucapan ringkas sebelum pulang kira-kira 10 minit selepas berucap.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dilihat keluar meninggalkan pekarangan Kompleks Istana Kehakiman jam 5.35 petang sebelum memberi ucapan kepada penyokong bapanya.

Himpunan hari ini adalah himpunan yang kedua diadakan sejak semalam.

Keputusan kes dijangka diumum mahkamah Jumaat ini.