• RON95
1 / 1
KAMPAR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, kenaikan harga runcit minyak diesel sebanyak tiga sen seliter bermula hari ini, disebabkan kerajaan telah banyak menampung subsidi sebelum ini.

"Dari segi diesel ini, subsidi yang diberikan terlalu besar. Oleh kerana itu bila kita kaji dan bincang semula, kita tidak boleh turunkan harga.

"Berdasarkan pengapungan harga ini, tiada pilihan bagi kita untuk naikkan harga tiga sen seliter," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pasar raya Giant baharu di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan akan memantau pasaran harga pada bulan ini bagi menetapkan harga runcit petrol dan diesel untuk bulan berikutnya.

"Kita akan mengkaji beberapa pendekatan baru berdasarkan kepada maklum balas daripada peringkat akar umbi, rakyat," kata beliau. - Bernama