Fenomena 'new moon',monsun cetus banjir luar biasa
KUALA LUMPUR - Fenomena 'new moon' iaitu kedudukan bulan berhampiran
dengan bumi yang menyebabkan air pasang merupakan antara faktor yang
mencetuskan banjir luar biasa di kawasan Pantai Timur pada tahun ini.
Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi
Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan banjir menjadi lebih
teruk apabila ditambah dengan tiupan angin Monsun Timur Laut secara
konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini bermula bulan
November hingga Mac.
"Meskipun hujan semakin reda dan tidak lagi lebat, namun air banjir
dilihat sukar untuk surut disebabkan fenomena 'new moon' yang mana bulan
berada dekat dengan bumi yang menyebabkan air pasang lebih tinggi
daripada biasa.
"Selain itu, hujan yang tidak berhenti sebelumnya menyebabkan aliran
sungai dari hulu ke kuala tidak sampai sehingga menyebabkan air sungai
melimpah keluar sehingga menyebabkan banjir teruk," katanya hari ini.
Katanya, pihaknya menjangkakan hujan lebat akibat tiupan angin Monsun
Timur Laut di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak minggu lalu, akan
berterusan sehingga awal Januari depan.
"Namun keadaan cuaca dijangka bertambah baik pada hari ini hingga esok
berikutan ramalan kami menunjukkan hujan hanya berlaku di satu atau dua
tempat di negeri-negeri berkenaan," katanya.
Dr Mohd Hisham menjelaskan, musim Monsun Timur Laut yang membawa kepada
hujan lebat terbahagi kepada tiga episod, iaitu episod pertama yang
berlaku pada akhir bulan November, episod kedua pada 16 hingga 19
Disember diikuti dengan yang ketiga iaitu Isnin lepas hingga esok.
"Walaupun cuaca dijangka baik pada dua hari tersebut, namun kami
menjangkakan ada lagi episod keempat iaitu bermula pada 28 Disember
sehingga 31 Disember dan mungkin akan berterusan sehingga awal bulan
Januari," katanya.
Dr Mohd Hisham berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan banjir akan
berlaku lagi selepas 28 Disember ini di kawasan-kawasan kedudukan rendah
dan berdekatan dengan sungai.
"Ketika musim Monsun Timur Laut, kawasan Pantai Timur dijangka
mengalami empat hingga lima episod hujan lebat menyeluruh dan berterusan
selama tiga hingga tujuh hari pada November hingga Januari 2015, serta
kawasan barat Sarawak dan Sabah pada Januari hingga Mac 2015.
"Oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan tepi sungai dan rendah
dinasihatkan supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang
kemungkinan termasuk banjir," katanya. - Bernama
New moon


0 orang berkata:
Post a Comment