• Sallehen Mukhyi Sallehen Mukhyi
1 / 1
SHAH ALAM - Pas Selangor mengingatkan sekutunya, DAP supaya menghentikan tuntutan mereka berhubung kerusi jawatan Timbalan Speaker II Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata buat masa ini, tiada keperluan bagi jawatan itu diwujudkan memandangkan jawatan tersebut telahpun diisi oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi dari Pas, Mohd Shafie Ngah.

"Saya tidak setuju supaya diadakan jawatan Timbalan Speaker II Dun (sebagaimana yang dituntut oleh DAP). Tidak ada keperluan jawatan itu diwujudkan.

"Ini sebab tugas Timbalan Speaker Dun hanya terhad semasa persidangan dewan sahaja," katanya yang juga Adun Sabak ketika ditemui pemberita di lobi Dun Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata tuntutan jawatan timbalan speaker akan mengundang pelbagai persepsi negatif dalam kalangan rakyat yang akan melihat Pakatan Rakyat seolah-olah gila jawatan.

Sallehen berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim semalam bahawa DAP wajar diberikan kerusi jawatan timbalan speaker Dun memandangkan parti itu menunjukkan kesetiaan penuh kepada PKR dan Pakatan Rakyat sewaktu krisis menteri besar kira-kira lima  bulan lepas.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan Selangor, Datuk Teng Chang Kim berkata peruntukan bagi rumah ibadat selain Islam di Selangor akan dinaikkan sekali ganda dari RM3 juta kepada RM6 juta mulai tahun depan.

Katanya, dengan peruntukan terbaru itu, rumah ibadat Kristian akan menerima peruntukan RM1 juta, Hindu dan Sikh RM2 juta manakala tokong Cina dan Buddha RM3 juta.

"Peruntukan ini akan digunakan bagi tujuan perayaan dan kelas agama selain menaik taraf bangunan rumah ibadat masing-masing," katanya yang menambah peruntukan itu disediakan menerusi Rang Undang-undang Perbekalan 2015. - Bernama