• Kelihatan satu keluarga di Kampung Baroh Pial terpaksa mengharungi banjir untuk ke pusat pemindahan selepas kediaman mereka dinaiki air di Rantau Panjang, hari ini. Seramai 81 orang daripada 21 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan selepas kampung mereka dilanda banjir. - Foto Bernama Kelihatan satu keluarga di Kampung Baroh Pial terpaksa mengharungi banjir untuk ke pusat pemindahan selepas kediaman mereka dinaiki air di Rantau Panjang, hari ini. Seramai 81 orang daripada 21 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan selepas kampung mereka dilanda banjir. - Foto Bernama
1 / 1
KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir di Kelantan semakin meningkat daripada 998 orang tengah hari tadi kepada 1,296 orang petang tadi.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, kesemua mangsa kini tempatkan di 19 pusat pemindahan yang dibuka di empat jajahan iaitu Jeli, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tanah Merah.

Di Jeli, pusat pemindahan Pasti Bukit Lakota dan Pasti Kampung Sungai Satan sudah ditutup namun, jumlah mangsa banjir semakin meningkat dengan 761 mangsa ditempatkan di tujuh pusat pemindahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas, Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1, SK Legeh, SMK Batu Melintang, SK Kalai, SK Kuala Balah, dan Masjid Gemang.

Di Tanah Merah, seramai 430 mangsa ditempatkan di 10 pusat pemindahan iaitu di Madrasah Kampung Renat, Dewan Desa Taqwa, SK Kulim, Madrasah Kampung Kulim, Madrasah Bendang Besar, Madrasah Kampung Banggol Yek,  Balai Raya Kampung Padang Kijang, SK Bukit Panau, Sk Sri Kelewek dan SK Alor Pasir.

Di Pasir Puteh pula, jumlah mangsa banjir di SK Wakaf Raja ialah seramai 21 orang manakala di Pasir Mas, jumlah mangsa yang ditempatkan di Madrasah Haji Daud kekal 84 orang.

Sehingga 3 petang ini, paras air di dua sungai masih berada di tahap bahaya iaitu Sungai Golok di Jenob di Tanah Merah merekodkan bacaan 24.77 meter (bahaya 23.50) manakala Sungai Golok di Rantau Panjang 9.39 meter (bahaya 9 meter).

Sementara itu, laluan KM12 Jalan Chiku-Aring, Gua Musang ditutup untuk semua kenderaan manakala laluan KM 31 Jalan Kota Baharu-Kuala Terengganu di Pasir Puteh serta Jalan Jeli-Dabong di Kampung Reka, Jeli hanya ditutup kepada kenderaan ringan.

Keadaan cuaca di negeri ini mendung dan sesekali hujan lebat. - Bernama