Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

[BENGONG] PAS Selangor Wajibkan PKR Sokong Hudud Di K'tan, Negeri Sendiri Tak Payah


PKR wajib sokong hudud di Kelantan, kata PAS Selangor

PKR wajib menyokong hasrat kerajaan PAS Kelantan melaksanakan undang-undang hudud, memandangkan pemimpin tertingginya beragama Islam, kata PAS Selangor.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zaidy Abdul Taalib berkata PKR ‎tidak sewajarnya mengikut jejak langkah DAP yang menolak hudud kerana parti itu majoriti ahlinya bukan beragama Islam.

"Kepada orang bukan Islam, kita tidak boleh nak paksa.

"Tetapi bagi orang Islam, kita ada kewajipan untuk menerimanya. Kita mesti percaya, ada akidah. Kalau tolak, kita berdosa dan sebagainya.

"Justeru, dari sudut orang beragama Islam, PKR mesti menyokong," katanya kepada pemberita di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) di Gombak, Selangor, hari ini.

PKR Pusat akan bermesyuarat hari ini di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor pada jaml 3 petang ini untuk memutuskan pendirian parti itu mengenai hudud.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyifatkan undang-undang yang akan dibawa PAS dalam Dewan Rakyat itu sebagai “bermasalah”.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer itu berkata, perjuangan PAS sejak awal jelas bertegas mahukan hudud, selaras dengan perlembagaan parti itu yang mahu wujudkan pemerintahan Islam.

Katanya, PAS kini perlu menjalankan peranan berdakwah untuk memberi kefahaman kepada rakyat termasuk mendapatkan sokongan daripada bukan Islam bagaimana hukum hudud itu mampu mengurangkan jenayah.

"PAS dalam perlembagaan jelas menyatakan ingin mewujudkan masyarakat dan pemerintahan yang ada nilai Islam selaras dengan ajaran agama.

"Sekarang ini tanggungjawab PAS untuk memberi kefahaman. DAP dari sudut kefahamannya, dia kita tak boleh memaksa mereka," katanya.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani Selangor itu bagaimanapun optimis pergeseran isu hudud tidak akan menjejaskan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat, (PR).

Tidak seperti Barisan Nasional (BN), Zaidy berkata keterbukaan setiap parti PR menyatakan pendirian masing-masing menjadikan proses hubungan antara tiga parti semakin matang.

"Keterbukaan inilah kekuatan kita. Kalau tidak setuju, daripada situ kita berbincang. Kita nak kecilkan (perbezaan) ketidaksetujuan dan itulah kekuatan PR," katanya.

Persidangan Kebangsaan DAP 2014 di Petaling Jaya minggu lalu dalam satu resolusi bertegas menolak hudud dilaksanakan di negeri atau pusat dan dipersetujui sebulat suara 938 perwakilan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata PR mesti jelas dengan kedudukannya jika mahu menawan Putrajaya semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

"Itu mesti jelas kerana itulah aspirasi pengundi-pengundi sederhana, bukan pengundi ekstrem," katanya.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam responsnya menyifatkan tindakan DAP yang berterusan mempertikaikan hak PAS memperjuangkan hudud di Kelantan amat tidak wajar.

"Ia satu percubaan meretakkan hubungan di kalangan PR," katanya. -TMI


Selangor belum sedia laksana hudud, kata exco agama PAS

Pelaksanaan hukum hudud belum sesuai dijalankan di Selangor berdasarkan komposisi kaum dan keadaan semasa negeri ini, kata Exco Selangor dari PAS, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, lapor Selangorkini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi itu berkata, berbeza dengan Kelantan, pelaksanaan hudud di Selangor memerlukan perancangan terperinci dari pelbagai aspek sebelum boleh dipraktikkan.

Katanya, pemahaman dalam perkara berkaitan termasuk penerangan dan pendidikan kepada masyarakat perlu dilakukan supaya ianya difahami sepenuhnya dan tidak disalah ertikan.

“Di Selangor, saya kira kita masih lagi belum bersedia kerana yang penting untuk melaksanakannya ialah memahami sepenuhnya berhubung perkara ini.

“Pendidikan kepada masyarakat bukan sahaja kepada orang bukan Islam tetapi orang Islam itu sendiri. Mereka perlu faham kenapa kita (PAS) hendak bawa syariat Islam ini,” katanya yang juga Bendahari PAS Selangor sebagaimana dilaporkan lidah rasmi kerajaan negeri, Selangorkini.

Kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin PAS akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri pada 29 Disember ini untuk meminda Kanun Jenayah Syariah II bagi membolehkan sebahagian hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.

Ia dibuat selepas Jawatankuasa Teknikal yang dibentuk di peringkat negeri dan Persekutuan sudah lapan kali bermesyuarat, lima di peringkat negeri dan tiga di peringkat pusat.

Cadangan Kelantan ini sekali lagi menimbulkan konflik dalam Pakatan Rakyat di mana DAP menentangnya manakala Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap cadangan ini 'bermasalah'.

Bagi DAP, hudud akan menghalang PR untuk ke Putrajaya. Namun Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah menjawab, tanpa hudud pada Pilihan Raya ke-13 (PRU13), ia juga tidak membawa Pakatan ke Putrajaya.

Dalam pada itu, Dr Ahmad yakin tidak berbangkit soal PR berpecah ekoran isu hudud ini.

"Saya tidak nampak begitu (pecah), ia tidak selari dalam beberapa isu sahaja tetapi kena lihat persamaaan antara parti itu dan banyak benda-benda yang boleh dibincangkan untuk kefahaman," katanya.

Antaranya, hudud ini hendak dilaksanakan kepada orang Islam sahaja tetapi persepsinya seolah-olah orang bukan Islam juga terkesan dengannya.

"Hudud ini pun lebih kepada pengajaran bukan hukuman, kena lihat aspek ini," kata beliau kepada wartawan.

Beliau juga menjelaskan, "Dalam PAS, hudud inilah satu perjuangan parti Islam itu. Saya yakin, semua umat Islam tidak menolak hudud, cuma perlukan agenda untuk memberikan kefahaman mengenainya."

"Jika rakyat tidak sedia, agenda untuk menjelaskan undang-undang perlu dibuat," kata beliau.
-TMI


ULASAN GB

Bukankah bengong namanya tu?

Di Selangor, bagi alasan belum bersedia untuk laksanakan hudud dengan alasan memerlukan perancangan terperinci dari pelbagai aspek sebelum boleh dipraktikkan.

Tetapi PAS Selangor ingin pula mewajibkan PKR menyokong hasrat kerajaan PAS Kelantan melaksanakan hudud kerana katanya pemimpin tertingginya beragama Islam. Habis tu, pemimpin tertinggi PAS beragama apa? Pemimpin tertinggi PAS Selangor juga beragama apa? Jika beragama Islam kenapa tidak usul dan cadangkan hudud di negeri kamu sendiri?

Inilah dia yang dikatakan "dualisma" para pemimpin PAS Selangor yang dikuasai oleh golongan UG. Bercelaru dan bersilang-sengketa di dalam isu hudud. Hukum kebenaran dan keadilan berjalan, tembelang mereka terdedah di dalam isu hudud menjelaskan bahawa UG ini golongan yang tidak boleh dipercayai dan hanya golongan yang mementingkan diri, mementingkan kerusi mereka.

Bukankah Presiden PAS sendiri pernah menyatakan hudud bukan agenda utama PAS? Jadi mengapa sampai keluar perkataan "WAJIB" kepada rakan lain di dalam Pakatan Rakyat?


Ilmu tak setarang mana, tapi saja nak mencari publisiti murahan!

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.