• Hudud
1 / 1
SHAH ALAM - PKR akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan pendiriannya mengenai hasrat Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Pas untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu dalam masa terdekat.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata meskipun Biro Politik parti itu telah mengadakan mesyuaratnya semalam, namun sehingga kini tiada sebarang keputusan diumumkan kepada pengetahuan umum.

"Kita jangka dalam masa terdekat parti akan keluarkan kenyataan berhubung keputusan mesyuarat Biro Politik PKR," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Semalam, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memaklumkan bahawa Biro Politik parti itu akan mengadakan mesyuarat pada 3 petang tadi di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Online pada 2.30 petang tadi mendapati suasana di luar pekarangan kediaman itu lengang daripada kehadiran kenderaan milik pemimpin parti itu.

Dalam pada itu, penyelia kediaman rasmi Menteri Besar itu yang ditemui memberitahu Sinar Online bahawa mesyuarat tersebut tidak diadakan pada hari ini.

Sementara itu, menurut sumber dalaman, mesyuarat itu telah dilakukan semalam namun keputusan mengenai pendirian PKR terhadap hasrat Pas itu tidak akan diumumkan dalam masa terdekat.

Kata sumber itu lagi, PKR perlu membawa hasil mesyuarat Biro Politiknya itu ke dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR terlebih dahulu supaya keputusan bersama dapat dicapai.

"Buat masa ini, PKR masih berpegang kepada pendirian parti sebelum ini yang diumumkan oleh Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli pada minggu lalu," kata sumber kepada Sinar Online.

Menurut sumber lagi, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ada menemui Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali di pejabat Menteri Besarnya, di SUK Selangor, tengahari tadi.

Namun butiran pertemuan itu tidak pula diketahui memandangkan Azmin seharian sibuk dengan mesyuarat pentadbiran kerajaan negeri.

Terdahulu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menyeru pimpinan dalam PR kembali menumpukan kepada perjuangan membela kebajikan rakyat yang mendesak terlebih dahulu.

Beliau berkata meskipun perbezaan pendapat antara mereka telah wujud sejak 1999 lagi, namun beliau berpandangan keutamaan dan muafakat yang jelas perlu diberi kepada isu-isu kebajikan rakyat

Tambah Rafizi, beliau telah memohon untuk mendapatkan draf enakmen yang bakal dibentangkan oleh Kelantan dengan segera bagi membuat penilaian.

Katanya lagi, sebarang keputusan dan pendapat mengenai perkara ini perlu merujuk kepada keputusan Majlis Presiden PR.