• Hannah Yeoh Hannah Yeoh
1 / 1
SHAH ALAM - Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh menggesa BN segera menamakan Ketua Pembangkang  bagi meneruskan tanggungjawab semak dan imbang dalam pentadbiran negeri.

Hannah berkata, BN perlu memilih salah seorang daripada 12 Adunnya yang layak dan sudi untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang sekaligus Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Kerajaan (PAC).

"Sekiranya BN berkeras enggan menamakan salah seorang Adunnya, mereka perlu jawab kepada rakyat kerana tugas semak dan imbang ialah tanggungjawab pembangkang di setiap negeri.

"Kita tukar Peraturan Tetap 68 (1) supaya Pengerusi PAC dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang bukan untuk main-main tetapi diselaraskan dengan negara Komanwel lain seperti Australia, United Kingdom, India dan New Zealand," katanya ketika sidang media di pejabatnya, semalam.

Adun Subang Jaya itu memaklumkan  bahawa bekas Ketua Pembangkang,  Datuk Mohd Shamsudin Lias membangkitkan  isu komposisi dalam Jawatankuasa PAC yang didakwa berat sebelah dan tidak mencerminkan semangat demokrasi sebenar.

"Saya ingin menyatakan bahawa Peraturan Tetap 72(1) bagi Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor jelas memperuntukkan bahawa komposisi ahli bagi tiap-tiap Jawatankuasa Pilihan hendaklah membayangkan kadar parti masing- masing di dalam dewan.

" Kita tidak mahu pentadbiran negeri mempraktikkan budaya atas budi bicara...kerana untuk menjadi kerajaan yang efektif jawatan yang dipertanggungjawabkan bukanlah opsyen itu adalah tugas dan kerja kepada rakyat," katanya.

Hannah memaklumkan beliau telah menerima surat peletakan jawatan Mohd Shamsudin sebagai Ketua Pembangkang dan kunci kereta rasmi.

"Saya menghormati keputusan beliau dan terima kasih atas perkhidmatan serta kerjasama yang diberikan sejak memegang jawatan itu bermula  Jun 2013 lalu.

" Shamsudin menolak tawaran Pengerusi PAC ini sejak 2010. Selangor ingin jadi perintis kepada praktis semak dan imbang dengan melantik Ketua Pembangkang menjadi pengerusi jawatankuasa membabitkan kewangan dan laporan audit negeri," katanya.

Hannah menjelaskan tujuan melantik minoriti Adun Pembangkang menganggotai PAC kerana bimbang sekiranya mereka menjadi majoriti nanti akan wujud tindakan boikot, tidak hadir yang membuatkan jawatankuasa ini gagal berfungsi.

"Jawatan Pengerusi PAC ini besar peranannya kerana berkuasa memanggil ahli jawatankuasa bermesyuarat sekiranya Laporan Audit mendedahkan wujud salah guna kuasa dalam kewangan kerajaan negeri," katanya.