• Abdul Halim bertanyakan khabar kepada ibu tunggal yang ditemui di sebuah majlis di Chetok. Abdul Halim bertanyakan khabar kepada ibu tunggal yang ditemui di sebuah majlis di Chetok.
1 / 1
PASIR MAS - Pelaksanaan hukum hudud yang mahu dijalankan oleh kerajaan negeri dilihat mampu menyelesaikan salah laku jenayah dalam kalangan masyarakat.
 
Adun Chetok, Abdul Halim Abdul Rahman berkata, hudud merupakan hukum ALLAH yang lebih bersifat kepada pendidikan dan pengajaran kepada umat manusia supaya tidak berterusan melakukan kesalahan.
 
“Sebagai umat manusia kita tidak perlu ragu-ragu dengan hukuman ini, kerana ia terbukti untuk memberikan pengajaran dan telah dilaksanakan pada zaman Rasulullah,” katanya.
 
Menurutnya, sudah tiba masanya hukum itu dilaksanakan di negeri ini dan hasrat kerajaan negeri itu wajar diberikan sokongan padu oleh seluruh rakyat.
 
Abdul Halim berkata, langkah tersebut dilihat tepat pada masanya dalam usaha menyelesaikan isu jenayah pada hari ini.
 
Akhbar tempatan 1 Disember lalu melaporkan, Kerajaan Pusat menegaskan tidak mempunyai sebarang halangan terhadap keputusan kerajaan Pas Kelantan untuk membentangkan perkara berkaitan pelaksanaan hukum hudud di negeri ini di Parlimen tahun depan.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Jawatankuasa Teknikal Hudud Pusat tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan memandangkan pentadbiran berkaitan hal ehwal Islam tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
 
Beliau berkata, Kelantan boleh membentangkan perkara itu di Parlimen pada bila-bila masa sekiranya sudah membuat persiapan rapi.