• NIK MOHAMAD ABDUH NIK MOHAMAD ABDUH
1 / 1
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pas tidak akan menarik kembali  perjuangan untuk melaksanakan hudud walaupun mendapat tentangan daripada rakan komponen, DAP.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, perjuangan Pas terhadap isu itu bukan baru tetapi sudah melangkaui 20 tahun.

Menurutnya, pelaksanaan hudud sudah mendapat 'lampu hijau' daripada Kerajaan Pusat dan tiada sebab untuk Pas menghentikannya.

“Dulu... kita dapat 'lampu merah', macam-macam dihalang. 20 tahun Pas terus berusaha untuk hudud. Tetapi sekarang BN dah buka jalan. Kita juga sudah melepasi negeri, jadi tidak ada sebab untuk mana-mana pihak nak mintak Pas berhenti.

“Konsensus negeri (Kelantan) juga sudah setuju di mana Umno dan Pas setuju untuk laksanakan (hudud), seharusnya keputusan ini dihormati,” katanya, semalam.

Beliau berkata, Pas memegang dasar demokrasi dan yakin untuk bentangkan Rang Undang-undang mengenai hudud di Parlimen.

“Ingin saya tegaskan, perjuangan Pas bukan hanya pada hudud tetapi semua yang berkaitan Islam. Tetapi saya yakin mereka (DAP) boleh terima sebagaimana Kerajaan Pusat pernah menolak suatu ketika dahulu.

"Sejak dulu lagi, Pas mahu sistem perbankan dibuat dengan cara Islam, tetapi tidak dapat. Negeri tiada kuasa untuk laksanakan, tetapi akhirnya Kerajaan Pusat buat juga sistem perbankan Islam ini. Sama juga dengan sistem Ar-Rahnu, Kelantan laksanakan dahulu baru diikuti di peringkat nasional,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, apa sahaja yang dilakukan Pas adalah untuk kebaikan bersama dan tidak pernah sesekali melanggar sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

"Jika Pas tidak pernah menolak perjuangan DAP iaitu Malaysian Malaysia, mengapa mereka tidak boleh terima prinsip Pas? Kalaulah perjuangan mereka itu diterima rakyat, kami akan akur. Terpulang pada rakyat, ini negara demokrasi.

"Jadi, tindakan DAP mahukan PR meninggalkan hudud adalah tidak wajar memandangkan PR dianggotai tiga parti berbeza.

“Seperti yang saya kata tadi, kalau Pas boleh terima prinsip perjuangan parti lain, begitu juga DAP perlu hormat pada prinsip perjuangan Pas. Umno sudah menerimanya, jadi jangan ada pihak lain pula mahu kami undur diri," katanya.

Beliau berkata, sokongan yang diberikan rakyat Kelantan pada Pas bukan hanya semata-mata pada hudud, malah rakyat di negeri itu yakin dengan pentadbiran negeri itu yang lebih baik daripada BN.

"Pas berjuang berlandas hukum Islam. Rakyat melihat perkara itu dan tahu ia bersandarkan nilai-nilai Islam, kerana itu mereka terus menyokong Pas," katanya.