• Mahfuz Omar Mahfuz Omar
1 / 1
ALOR SETAR - Pas membantah tindakan polis antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis merah terhadap Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Dr Yusuf Al-Qaradawi yang didakwa terlibat dalam aktiviti keganasan.

Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, arahan itu hanya bersandarkan atas sifat dendam sesetengah pihak sekaligus menyemarakkan lagi Islamofobia dalam kalangan masyarakat dunia.

Justeru, beliau meminta kerajaan mengambil sikap proaktif untuk membantah arahan itu yang dianggap tidak adil kerana memihak kepada sebelah pihak sahaja termasuk Mesir.

"Tindakan Interpol ini seolah-olah menyemarakkan lagi Islamofobia dalam kalangan orang bukan Islam kepada Islam apabila ulama tersohor dunia Islam dikaitkan dengan tuduhan menghasut dan terlibat aktiviti keganasan.

"Kita kesal akan sikap kerajaan Malaysia yang masih berdiam diri dalam hal ini sedangkan beliau bukan tokoh yang asing di negara ini dan penah menerima anugerah tokoh Maal Hijrah.

"Wisma Putra sewajarnya bersifat proaktif dalam hal ini untuk membela tokoh hebat yang menjadi mangsa penganiayaan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga perlu menyatakan pendirian dalam perkara itu kerana Yusuf adalah ulama yang diiktiraf dunia.